
KUALA LUMPUR: Peranan FELCRA di negeri Selangor adalah sama dengan negeri-negeri yang lain yang pada ketika itu, menyatu, memulih dan memajukan tanah dengan pembangunan tanaman komoditi sawit dan getah demi manfaat penduduk luar bandar.
FELCRA Kawasan Batu 8 Sijangkang yang telah mula dimajukan pada tahun 1988 seluas 2,046.47 hektar dan dapat memberi manfaat kepada 1,346 peserta adalah merupakan sebahagian daripada pembangunan FELCRA di negeri Selangor.
Menurut Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dua projek utama di dalam pentadbiran kawasan FELCRA Batu 8 Sijangkang adalah projek FELCRA Batu 8 Sijangkang itu sendiri dan FELCRA Bukit Changgang.
Katanya KKDW, sejajar dengan pembangunan yang pesat di negeri Selangor, kebanyakan kawasan yang dimajukan oleh FELCRA telah dicadangkan oleh peserta untuk dibangunkan semula sebagai pusat-pusat pertumbuhan baharu seperti projek-projek perumahan dan pembangunan bercampur.
“Kedua-dua projek ini iaitu FELCRA Batu 8 Sijangkang dan FELCRA Bukit Changgang tidak dapat dibangunkan semula sebagaimana hasrat peserta kerana persetujuan nilai harga tanah tidak dapat dicapai di antara peserta dan bakal pemaju sehingga kini.
“Ekoran daripada senario ini, FELCRA Batu 8 Sijangkang telah tidak lagi diurus oleh FELCRA dan FELCRA Bukit Changgang hanya sebahagiannya sahaja yang masih diuruskan oleh FELCRA,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Yunus dalam soalannya meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan perancangan kerajaan bagi membangunkan lot-lot tanah yang telah diberikan milikan seolah-olah tidak terurus dan sebahagiannya telah dijual tapak di FELCRA Batu 8 Sijangkang. – HARAKAHDAILY 28/11/2023











