
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sungguhpun menyekat peruntukan kewangan diberikan secara langsung kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun masih boleh menyalurkannya menerusi Pejabat Daerah.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, peruntukan bagi bantuan atau memenuhi keperluan rakyat termasuk infrastruktur atau kepentingan awam berkaitan boleh diuruskan oleh pihak Pejabat Daerah.
Beliau menggesa pihak kerajaan untuk tidak mengabaikan kepentingan atau keperluan rakyat di kawasan Parlimen diwakili pembangkang di mana peruntukan sewajarnya mesti diagihkan atau dipenuhi dengan adil.
“Kami tidak kisah Kerajaan Pusat tidak dapat beri peruntukan melalui kami, tetapi yang penting rakyat akan dapat. Tidak mengapa wang diletak di Pejabat Daerah, apabila rakyat datang kepada kami, kami luluskan dan arah jumpa dengan Pejabat Daerah untuk mengeluarkan wang.
“Pihak sekolah, masjid, surau, NGO, pelajar akan jumpa kami sebagai wakil rakyat, mereka tidak berjumpa orang lain untuk memohon bantuan,” ujarnya berikutan isu tersebut terus ‘memanaskan’ persidangan Parlimen hari ini.
Ia berikutan pengisytiharan sokongan terkini kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini pagi tadi.
Naib Presiden PAS yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu memberitahu, pihak Ahli-ahli Parlimen PN sebenarnya telah menghidu tindakan Syed Abu Hussin lebih awal dan tidak terkejut dengan pengisytiharan itu.
Katanya, perkara tersebut dapat disaksikan dari soalan dikemukakan yang akhirnya terbukti semasa sesi tersebut di mana telah digunakan sebagai kesempatan untuk beliau membuat pengumuman tersebut.
Sebelum ini pada 9 November lalu, Syed Abu Hussin membahas RUU Perbekalan 2024 menyatakan kesediaan menyokong Kerajaan Madani jika peruntukan RM30 juta diberikan kepada kawasannya.
Bagaimanapun Ustaz Idris menyangkal bahawa isu peruntukan menjadi sebab utama kepada tindakan bertukar sokongan tersebut, sebaliknya satu alasan bagi Syed Abu Hussin menjustifikasikan perbuatannya.
“Kenyataan ini pun sudah timbul sedikit kerisauan kami. Hari ini telahan telah terjawab. Semua orang tahu YB Bukit Gantang seorang yang berharta dan seorang peniaga. Jika tidak dapat peruntukan pun, dia boleh bergerak sebagai wakil rakyat pembangkang.
“Kami tidak bimbang, kerana rakyat telah sedia memahami sekatan atau keterbatasan ke atas Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Kita boleh bagilah (sumbangan) sekadar setakat kenduri kendara, ziarah orang sakit, ziarah kematian dan beri kit makanan kepada asnaf dengan wang elaun kita.
“Projek-projek kita tak boleh bagi itu rakyat pun faham. Tapi kita boleh jadi sebagai mediator atau perantara dengan agensi-agensi kerajaan untuk membantu rakyat. Inilah yang saya lakukan selama ini.
“Ini bukan benda baru pada saya, kerana saya pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang penggal 2013-2018, tanpa satu sen pun peruntukan daripada kerajaan” jelasnya.
Bekas Menteri Agama itu juga secara sinis menyifatkan tindakan Syed Abu Hussin menyokong Perdana Menteri selepas kajian oleh beberapa badan menunjukkan kemerosotan sokongan kepada Anwar sebagai ‘satu ketinggalan’.
Malah katanya, sokongan itu diberi selepas para penganalisis politik dan media yang dahulu mereka bersama dengan Presiden PKR itu, yakni sebelum beliau memegang tampuk kuasa negara, kini turut mengkritik Anwar. – HARAKAHDAILY 28/11/2023











