
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih diperlukan lagi parti itu.
Katanya cadangan tersebut ditolak ramai perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) hari ini.
“Kita boleh melihat respons daripada semua perwakilan di mana mereka menolak cadangan Tan Sri Muhyiddin yang tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan tahun hadapan.
“Kepimpinan Tan Sri amat diperlukan bagi terus memimpin Bersatu. Kepimpinan tertinggi Bersatu akan berbincang semula dengan Tan Sri mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media sempena PAT Bersatu.
Oleh itu beliau menasihatkan setiap ahli dan penyokong Bersatu supaya jangan risau mengenai perkara tersebut.
Ahmad Faizal juga menyifatkan ucap dasar presiden yang menyentuh mengenai bangsa Melayu hilang kuasa di negara sendiri mulai kelihatan sekarang.
Menurutnya perkara itu perlu menjadi kerisauan orang Melayu bagi menjamin masa hadapan mereka.
Beliau turut menyifatkan ucapan Presiden Bersatu sebagai berani bagi menyatakan kebenaran mengenai masa hadapan orang Melayu di tanah air sendiri. – HARAKAHDAILY 24/11/2023











