Bajet popular tidak pernah direalisasi seperti manifesto PH

Zulkefli Bakar
- Advertisement -

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang wajar memikirkan langkah untuk menangani belanjawan negeri daripada defisit.

- Advertisement -

Zulkefli Bakar (PN-Penanti) berkata, langkah itu harus telus dan mengambil kira kemampuan kerajaan untuk membayar pinjaman masa depan bagi mengelak rakyat turut terkesan.

“Kesannya rakyat akan rasai bila pengembangan infrastruktur terpaksa dikorbankan disebabkan penguncupan pendapatan yang mungkin berlaku akibat rantaian ekonomi dan geopolitik global semasa.

“Bajet harus pruden sesuai dengan keadaan dunia, bukan hanya mimpi dalam nyata.

“Bajet popular tidak akan pernah dapat direalisasikan seperti manifesto PH,” ujarnya ketika ditemui di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Katanya, memetik laporan IMF pada Oktober 2023 menyatakan ekonomi dunia pada amnya turun di bawah paras 3 peratus menjelang tahun 2024.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Belanjawan 2024 Pulau Pinang dengan defisit sebanyak RM514.53 juta berbanding defisit tahun 2023 yang berjumlah RM467.12 juta.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini, kerajaan negeri menjangkakan hasil untuk tahun 2024 sejumlah RM533.08 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,047.60 juta, menjadikan defisit Bajet 2024 bertambah sebanyak RM47.41 juta.

Justeru itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri itu berharap kerajaan negeri mengambil kira keutamaan perbelanjaan dalam bajet pembangunan yang memberi impak signifikan kepada taraf hidup rakyat.

“Apakah projek terowong dasar laut yang menelan belanja berbilion ringgit harus dikaji semula? It is all ‘needs versus wants’.

“Untuk mengimbangi dan mengawal selia perbelanjaan kerajaan harus didatangi dengan kuasa sesuai dengan tanggungjawab yang diberi.

“Sokongan padu dari ahli-ahli Dewan Undangan Negeri adalah perlu supaya tanggungjawab semak dan imbang demi kesejahteraan negeri dan rakyat tidak terabai. A ‘toothless tiger’ is less effective even though it still has its claws,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, Key Performance Indicators (KPI) kayu pengukur bajet harus jelas dinyatakan di dalam piagam setiap projek kerajaan.

Semakan berjadual juga adalah penting bagi menjamin perjalanan projek yang lancar dan perbelanjaan terkawal mengikut persetujuan awal.

“Setiap projek harus dinilai secara objektif pada setiap masa untuk mengelak berlakunya sebarang ketirisan. Impak sosio-ekonomi pada akhirnya mesti dirasai setiap rakyat bukan bajet syok sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2023

- Advertisement -