
SUASANA Dewan Negeri Selangor sewaktu sidang pagi semalam sedikit kecoh sewaktu sesi menjawab Exco berkenaan Skim Insuran Am Selangor (INSAN) apabila Exco memberikan jawapan yang tidak jelas setelah diasak soalan balas oleh ADUN Gombak Setia, ADUN Hulu Kelang dan ADUN Sungai Ramal.
Tindakan meletakkan e-wallet sebagai pra-syarat untuk melantik syarikat bagi melaksanakan skim insuran untuk rakyat Selangor seperti program INSAN ini adalah suatu yang tidak adil kerana e-wallet dan insuran adalah dua sektor yang berbeza.
Tambahan pula, berdasarkan maklumat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, jelas menunjukkan perniagaan insuran bukanlah bidang perniagaan untuk syarikat Wavpay Fintech Holding Sdn. Bhd.
Fakta ini membuatkan tindakan Kerajaan Selangor melalui MBI yang membayar RM12.72 juta kepada syarikat ini untuk melaksanakan program Skim Insuran Am Selangor (INSAN) adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Bukan itu sahaja, Kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai beberapa buah anak-anak syarikat yang mempunyai pengalaman dan mampu menggalas tanggungjawab untuk melaksanakan skim insuran ini seperti Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Selangor Industrial Corporation Sdn. bhd (SIC).
Lebih mengejutkan, Wavpay Fintech Holding Sdn. Bhd. mengemukakan pindaan akhir cadangan asal yang ditambah baik pada 27 September 2022 dan mendapat LOA daripada MBI pada 1 Oktober 2022.
Namun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 7 September 2022 telah pun bersetuju melantik Wavpay Fintech Holding Sdn. Bhd. sebagai pengendali.
Persoalannya, bagaimana MMKN boleh luluskan syarikat ini untuk melaksanakan program insuran ini sedangkan cadangan pindaan akhir belum diterima? Apa istimewanya syarikat ini?
Mengapa Kerajaan Selangor terlalu tergesa-gesa untuk melaksanakan skim insuran ini dengan melantik Wavpay Fintech sehingga terlalu banyak perkara yang meragukan terjadi?
PERIKATAN NASIONAL menyambut baik segala yang baik untuk rakyat Negeri Selangor. Namun, sekiranya terdapat perkara yang menyalahi tata kelola dalam pelaksanaan dasar tersebut, ia perlu diperbetulkan. Rakyat mahukan jawapan yang jelas mengenai isu INSAN ini.
JABATAN PENERANGAN
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 22/11/2023
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/hTKdoa5r2RXwyxAG/?mibextid=qi2Omg











