Perjuangan Palestin adalah jihad dalam Islam

- Advertisement -

ADA yang mengatakan bahawa perjuangan memerdekakan Palestin tidak ada kaitan dengan agama khususnya Islam, sebab itulah kalau kita berpegang dengan prinsip demikian maka natijahnya kita juga akan menyokong gerakan-gerakan songsang spesis ‘gajus’ yang kononnya menyokong perjuangan Palestin. Jangan kerana syarikat yang banyak menyumbang kepada Israel mengeluarkan zakat maka kita pun akan menyokongnya. 

Fahami mereka yang berjuang dan bersama dengan pejuang-pejuang Islam yang membebaskan Masjid Al Aqsa serta memerdekakan Palestin. Kekuatan dan keberanian yang diperolehi oleh pejuang-pejuang Islam Palestin serta rakyat Palestin ialah kerana atas dasar agama Islam. 

Hubungan pejuang Palestin dengan Islam

Keyakinan kepada Allah dan Islam telah memberi kekuatan kepada pejuang Islam Palestin dalam memerangi tentera penjajah Israel, kerana mereka sedar dan mengakui bahawa dari segi kuantiti dan kelengkapan senjata mereka serba kekurangan. Akan tetapi atas dasar yakin kepada agama sehingga segala kekurangan yang ada tidak melemahkan semangat mereka dalam masa yang sama mereka juga tidak mengharapkan bantuan ketenteraan daripada saudara seakidah mereka, kerana mereka melihat saudara seakidah dan sebangsa dengan mereka sedang dijajah Israel. 

Hubungan rakyat Palestin dengan Islam

Kalau kita mengatakan bahawa perjuangan rakyat Palestin dan Gaza tiada kaitan dengan Islam, maka kematian yang begitu ramai tidak ada ertinya. Akan tetapi kerana keyakinan mereka kepada Allah bahawa mati ketika mempertahankan tanah air itu termasuk dalam kategori syahid yang hanya terdapat dalam Islam, maka keyakinan yang begitu teguh membuat mereka kuat dengan apa yang telah dan sedang berlaku. 

Kita dituntut serta digalakkan untuk membantu pun atas dasar kewajipan sebagai seorang saudara Islam, kerana kita yakin bantuan dan sokongan kita kepada mereka juga termasuk kategori jihad yang akan diberikan ganjaran di sisi Allah S.W.T. 

Oleh itu, janganlah kita termakan dengan normalisasi pemisahan agama dari kehidupan kita. Golongan liberal ini seboleh-bolehnya bukan sekadar menjadikan agama atau Islam hak peribadi, bahkan mereka nak kalau boleh agama (Islam) itu tidak perlu dilibatkan dalam kehidupan seharian kita. 

Semoga Allah menjaga kita semua daripada seruan golongan ‘gajus’ yang songsang.

IBNU SATIRIN AL BANTHANY – HARAKAHDAILY 22/11/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/uiKJqpCJMbyNjz6i/?mibextid=qi2Omg 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -