Kerajaan digesa tegas tangani isu buli di sekolah

Mohamed Fadzli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil pendekatan yang lebih tegas bagi mencegah dan menangani masalah buli di sekolah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS,  Dato’ Dr. Haji Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan berkata buli tidak boleh dibiarkan berlaku terutamanya di sekolah berasrama penuh.  

- Advertisement -

“Situasi seperti ini tidak wajar berlaku dan tidak boleh dibiarkan terus menghantui ibu bapa kerana murid terpilih dan mengikuti pengajian di sekolah berasrama penuh ini terdiri daripada kelompok anak cerdik dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

“Mereka sepatutnya menjadi generasi harapan masa hadapan negara,. katanya.

Beliau  berkata demikian susulan baru-baru ini Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), telah meluahkan kekesalan terhadap tindakan ibu bapa menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah itu.

Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes itu di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah itu secara keseluruhan.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4 sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid yang terbabit tidak diubah.

“PIBG MCKK dalam satu kenyataan turut memaklumkan ada menerima laporan mengenai pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan sekitar bandar ini dan dianggap sebagai pembuli,” ujar kenyataan itu.

Mohamed Fadzli ketika dihubungi HarakahDaily berkata, amalan buli sudah menjadi seperti ‘tradisi wajib’ di sekolah asrama, menyebabkan ibu bapa bimbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama. 

“Terdapat bekas pelajar yang mengakui bahawa buli adalah lumrah, termasuk di sekolah agama berasrama,” kongsi beliau.

Katanya lagi, ini bukan kes buli pertama yang berlaku di negara kita, kerana sebelum ini pernah ada kes buli dilaporkan sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental.

Berdasarkan data yang dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat pada Rabu (1 Nov) lalu, jumlah kes buli yang direkodkan pada 2021 adalah 326 kes, rendah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun begitu, pada tahun 2022, jumlah buli dalam kalangan pelajar telah meningkat secara mendadak kepada 3,887 kes manakala pada tahun 2023, sehingga Oktober, jumlahnya adalah 4,994 kes.

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu kes buli yang dilakukan oleh pelajar tidak sepatutnya disorok semata-mata hendak menjaga nama baik sekolah. 

“Nama baik sekolah sepatutnya dijaga dengan membanteras sebarang bentuk aktiviti anti-sosial dan keruntuhan akhlak. 

“Benih-benih jenayah keganasan tidak boleh dibiarkan bercambah, apalagi melibatkan sekolah berasrama penuh. Ia adalah amanah ibu bapa kepada pentadbir untuk membentuk anak-anak mereka.

“Pembuli hendaklah disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak sekolah dan pihak berkuasa,” tegasnya. 

Oleh yang demikian, katanya lagi pencegahan kes buli atau gejala sosial ini perlu penglibatan banyak pihak. Ia bukan sahaja melibatkan para ibu bapa malah turut penglibatan pihak lain seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.  

“Pihak PIBG tidak hanya terlalu mementingkan pencapaian akademik pelajar semata-mata, tetapi juga hendaklah bekerjasama dengan pihak sekolah bagi merancang aktiviti membentuk sahsiah yang cemerlang dan harmoni dalam kalangan pelajar,” katanya.

Mohamed Fadzli turut menasihatkan kepada masyarakat di sekeliling agar tidak patut menghukum pihak sekolah atau para pelajar disebabkan perbuatan segelintir yang tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

- Advertisement -