
COPENHAGEN: Pada malam yang huru-hara di Copenhagen dengan tujuh gol, dua penalti, kad merah yang ‘mengubah permainan’, penunjuk perasaan di atas padang, dan kemenangan lewat penentuan oleh pemain gantian Copenhagen yang berusia 17 tahun, akhirnya menyaksikan Manchester United tewas lagi.
Harapan Liga Juara-Juara Manchester United berkecai selepas dua kali gagal menggunakan kelebihan sebelum gol kemenangan hasil rembatan pemain tengah Copenhagen yang berusia 17 tahun, Roony Bardghji, menyaksikan pasukan bimbingan Erik ten Hag itu tumbang 4-3 di tempat lawan.
Pada awalnya, semua bermula dengan baik untuk United, yang mendahului 2-0 selepas 28 minit hasil dua penyudah jarak dekat dari Rasmus Hojlund.
Namun, kad merah yang diterima Marcus Rashford kerana terjahan lewat berikutan semakan video pembantu pengadil (VAR) mula mencetuskan kejatuhan United, yang melepaskan gol daripada Mohamed Elyounoussi dan Diogo Goncalves untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa, lapor Skysports.
Bruno Fernandes meletakkan United kembali di hadapan dengan sepakan penalti kontroversi tetapi United tumbang sekali lagi, apabila Lukas Lerager menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83, sebelum Bardghji mengumumkan dirinya kepada dunia dengan menjaringkan gol kemenangan dramatik empat minit kemudian.
United kini berada di tangga terbawah Kumpulan A dan, dengan Bayern Munich sudah dijamin menduduki tempat teratas selepas menewaskan Galatasaray pada Rabu.
Kini, pasukan Liga Perdana itu berdepan pertarungan tiga penjuru dengan pasukan Turkiye dan Copenhagen untuk meraih tempat ke peringkat kalah mati.
Jika kalah lagi di Istanbul dalam perlawanan menentang Galatasaray – pasukan yang tidak pernah mereka tewaskan di tempat sendiri – dalam Liga Juara-Juara pada 29 Nov ini bakal menyaksikan United tersingkir di peringkat kumpulan.
Namun, jika mereka memenangi perlawanan itu, United juga mungkin memerlukan keputusan menentang Bayern dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka untuk layak. – HARAKAHDAILY 9/11/2023




















