
KUALA LUMPUR: Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta kerajaan menyatakan kerjasama antara Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pemain industri seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau turut ingin tahu mengenai program Tahfiz TVET serta kajian berkaitan gaji bagi graduan lepasan program tersebut.
“Saya mahu merujuk buku manifesto Pakatan Harapan yang bertajuk `Kita Boleh Tawaran Harapan pada PRU-15 muka surat 24.
“Bekerjasama dengan pemain industri yang memberi khidmat dalam sektor berkaitan TVET untuk melatih pelatih berdasarkan konsep menempat dan melatih (place to train) dan memberi mereka akreditasi yang setimpal.
“Lebih banyak pusat latihan TVET akan dibina di kawasan yang tidak mempunyai rakan strategik industri yang releven untuk memudahkan akses dan industri.
“Soalan saya, adakah kawasan-kawasan ini telah dikenal pasti, di mana dan berapa kosnya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi menjawab soalan tersebut, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pihaknya telah menandatangani lebih 60 Memorandum Kerjasama (MOC) bersama pemain industri ke arah mencapai tujuan demikian.
“Baru-baru ini lebih daripada 60 MOC telah ditandatangani bersama dengan pemain industri supaya dapat mewujudkan kerjasama strategik di mana pihak kementerian akan menyediakan institut dan tenaga pengajar.
“Manakala pihak industri akan menyediakan modul, peralatan dan kelengkapan supaya pelajar dapat menjalani kursus yang sebenar yang diperlukan oleh pemain industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023.











