
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan disaran mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu yang membabitkan benih padi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat yang diberi lesen menyediakan benih padi menjualnya dengan harga lebih mahal berbanding yang disarankan.
“Harga subsidi RM40 (lebih-lebih) satu kampit tetapi syarikat berkenaan jual sehingga RM70 sekampit.
“Hal ini dalam petak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Saya tak mau campur nanti dikatakan cakap banyak,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Ujarnya lagi, benih padi perlu diberi lesen kepada pihak yang ada bendang (sawah) serta mempunyai petak untuk padi benih.
Tambah beliau, sekiranya diberi kepada syarikat kalau kilang padi yang tidak mempunyai petak padi benih, tidak mustahil masalah yang dihadapi sekarang boleh terjadi.
“Inilah kartel. Kartel benih, kartel baja, kartel padi. Kartel dari atas sampai bawah. Tak boleh ‘fight’ di tengah-tengah sahaja.
“Pasal benih padi ini, tiga tahun dahulu saya sudah bersuara. Tak mau ulang banyak kali dah. Jadi yang berkenaan harap ambil perhatian,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu tegas Sanusi, pengeluaran serta penyusunan petak padi benih juga perlu diselenggara dengan baik sama ada di Kelantan, Kerian, Selangor mahupun Kedah sendiri.
Ini berikutan jelasnya musim penanaman padi di negeri-negeri berkenaan tidak sama.
Sementara di Kedah, jelas beliau, 27 peratus kouta untuk petak benih padi diberikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), manakala 63 peratus lagi kepada syarikat lain.
“Kalau serah kepada yang tak ada petak bendang, tak tau la lagu mana (bagaimana) nak urus.
“Saya cakap lama dah. Tapi depa tak mau dengaq,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/11/2023











