Subsidi bersasar, bantuan tunai perlu anjal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) memohon kesan pelaksanaan subsidi bersasar dan program bantuan tunai perlu diteliti secara menyeluruh, bukan sekadar kaedah tetapi implikasinya.

Katanya, ini kerana program subsidi bersasar dan bantuan tunai perlu mempunyai keanjalan dan atas faktor keanjalan, pasti impak yang terhasil akan turut berubah-ubah.

- Advertisement -

Ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Ekonomi, Belanjawan 2024, beliau turut mengemukakan tiga soalan untuk diteliti.

“Pertama, kewangan kerajaan. Kita perlu jelas berapa nilai (quantum) penjimatan subsidi yang disasarkan, berapakah pula nilai (quantum) pindahan tunai yang akan diagihkan, RM10 bilion ke RM20 bilion setahun? Adakah ini pendekatan terbaik untuk mengurangkan defisit kerajaan?

“Keduanya, sistem pangkalan data PADU yang perlu sentiasa dikemas kini dan diverifikasi kelayakan, pemutihan, penyaluran bantuan tunai yang tidak seragam, mengikut tahap pendapatan yang pastinya berubah-ubah, komitmen kewangan dan lokaliti yang berbeza. Sistem ini perlu betul-betul ‘robust’.

“Ketiga, apakah pula kesannya terhadap kenaikan kos sara hidup dan inflasi tolakan-kos apabila harga barangan keperluan, contoh harga petrol, beras, ayam dan lain-lain, akan diapungkan, dan mempunyai kesan rantaian yang meluas,” katanya.

Beliau juga bertanyakan kesan terhadap perbelanjaan golongan M40 dan T20 apabila harga petrol dan barangan keperluan lain diapungkan sepenuhnya.

Katanya, kerajaan mungkin boleh menjejaskan perbelanjaan boleh guna mereka, seterusnya mungkin merencatkan perbelanjaan domestik yang menjadi tunjang untuk memacu kerancakan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yakin perkara ini telah diberikan perhatian oleh Kementerian Ekonomi, namun tegasnya, implikasi sesuatu dasar baharu perlu diberikan penelitian menyeluruh.

“Ini penting supaya peralihan secara berperingkat program subsidi bersasar dan bantuan tunai ini, benar-benar memberikan ‘net gain’ kepada ekonomi negara, kewangan kerajaan, dan terpenting kelegaan kepada poket rakyat, tidak kira B40, M40 mahupun T20, semuanya ada hak, kelayakan dan peranan dalam ekosistem ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -