
KUALA LUMPUR: Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mencadangkan Kementerian Pertahanan mengambil doktor untuk berkhidmat di hospital tentera secara kontrak selama tiga tahun, tetapi tidak perlu menyertai sistem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, doktor yang menyertai ATM terpaksa melalui latihan sebulan, tetapi tanpa menyertai ATM, mereka sekadar menampung keperluan doktor di hospital tentera seperti yang dilaksanakan di hospital bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebelum itu dalam soalan tambahannya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, beliau bertanya mengenai unjuran penjawatan bagi Hospital Kem Terendak baharu yang mempunyai 150 katil.
“Setahu saya Yang Berhormat, penjawatan yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menampung perkhidmatan sedia ada apa tah lagi dengan pertambahan perkhidmatan yang akan ditawarkan.
“Saya berharap kerajaan dapat mengkaji segala keperluan penjawatan supaya segala perkhidmatan yang ditawarkan dapat diberikan ke tahap optimum dan berkesan kepada warga ATM yang kita tahu banyak berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk mempertahankan negara kita.
“Kita tidak mahu hospital serba moden dan canggih, tapi malangnya mempunyai masalah kekurangan doktor pakar dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata beberapa kepakaran baharu ditawarkan di hospital baharu berkenaan.
Oleh itu, katanya Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan seperti unit wanita dan juga kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 8/11/2023











