Ikut naratif Barat, anggota LI: Ini penjelasan Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendirian menyokong perjuangan Palestin adalah keyakinan dirinya yang juga selari dengan sentimen rakyat Malaysia.

Beliau turut menyenaraikan beberapa demonstrasi anti-Israel dan bantahan pernah disuarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat serta penyertaan di persidangan dunia dalam membela Palestin.

Katanya, walaupun ada yang melecehkan beliau dalam perkara tersebut, tetapi beliau telah hadir dan mengemukakan kepada beberapa persidangan dan ketua-ketua negara Islam, namun belum ada konsensus.

Ahli Parlimen Tambun itu turut merungkai salah faham yang berbangkit daripada jawapan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution berhubung gesaan mengeluarkan penduduk Gaza ke Sinai.

Jelas beliau, kenyataan tersebut bermaksud untuk mengeluarkan mereka daripada bahaya dan bukannya berpindah keluar serta menegaskan tidak bersetuju penduduk Gaza dikeluarkan.

Selain menyatakan gesaan keluar itu dimainkan media Barat, beliau juga bersetuju dengan pendirian negara-negara Arab dan Islam lainnya untuk penduduk Gaza tidak berpindah keluar dari bumi mereka.

“Itu maknanya kenyataan yang mengelirukan dan jahat. Sebab saya bincang dengan Presiden (Mesir), Abdul Fattah as-Sisi, dia kata sentimen orang-orang Mesir (minta) tolonglah orang (Palestin) yang nak keluar (dari Gaza). 

“Tapi sebaik keluar maknanya kita bagi laluan mudah untuk Israel masuk. Sebab itu dari segi ini saya setuju dengan pendirian negara-negara Arab supaya tidak memberi laluan mudah untuk orang-orang Palestin di Gaza keluar.

“Cuma bagaimana nak kawal supaya boleh mengelakkan daripada bahaya yang terus-menerus kerana kalau kita lihat sampai hari ini 73 peratus yang korban itu anak-anak dan wanita. 

“Sebab itu saya kata negara-negara yang melaung-laungkan demokrasi hak asasi itu sudah tidak meyakinkan kita lagi. Sepatah dia sebut hak asasi dan demokrasi kemudian bila dilakukan oleh Israel, diizinkan (mereka),” ujarnya.

Penjelasan beliau itu dinyatakannya dalam sesi Jawapan Perdana Menteri setelah menerima pertanyaan dibangkitkan oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang juga Ketua Penerangan PAS.

Fadhli ketika bangkit mengakui bahawa Anwar dikenali dengan ketegasannya dalam isu Palestin, namun penyataan Saifuddin tersebut memerlukan penjelasan kerana dilihat tidak selari dengan pendirian dinyatakan Perdana Menteri.

Turut ditanya adalah berkenaan penglibatan PKR diterajui Anwar serta keahliannya dengan Liberal International (LI) iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa yang menyatakan sokongan kepada Israel.

Menurut beliau, bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR telah menafikan dan logo PKR dikeluarkan dari laman sesawang rasmi LI.

“Cumanya apabila kita selidik balik rupa-rupanya kenyataan parti YAB (sebagai) salah satu ahli daripada LI ini telah disahkan oleh Naib Presiden PKR (Nurul Izzah Anwar) sendiri pada tahun 2016.

“LI juga mengeluarkan ucapan tahniah merujuk kepada parti YAB sebagai ahli full member kepada LI. Saya fikir tidaklah menjadi masalah kalau kita sekadar menjadi ahli, tetapi berbeza dari sudut pandangan dalam isu Israel.

“Tetapi apabila dinafikan, dan kemudian dibuktikan bahawa ia sebenarnya tidak begitu,” ujar Ahmad Fadhli meminta penjelasan Perdana Menteri terhadap dakwaan yang tular mutakhir ini.

Jelas Anwar, beliau dan partinya tidak menjadi ahli dan anggota LI melainkan peringkat awal, tetapi disebabkan keputusan LI termasuk mengiktiraf LGBT, maka PKR berpendirian tidak menjadi ahli.

Beliau meminta perkara tersebut tidak dipolitikkan dan menegaskan bahawa kehadirannya dalam Konferen Antarabangsa LI sebagaimana di Kaherah, Mesir telah menyatakan pendiriannya mengenai Palestin.

Maklumnya, majlis tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin Gerakan Islam lain dan disusuli pertemuannya dengan Al-Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif dan Dr Mohamed Morsi yang ketika itu belum menjadi Presiden Mesir.

Tegas Anwar lagi, pihaknya mempunyai pendirian, namun kehadirannya ke persidangan bersama badan-badan berkaitan adalah rundingan dan tidak harus dianggap menganggotai atau memberi pengiktirafan. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -