Keluarkan dari Gaza tidak selari aspirasi Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperjelaskan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memaklumkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari Gaza.

Ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, perkara itu tidak selari dengan aspirasi rakyat Palestin.

- Advertisement -

“Saya minta Perdana Menteri membuat penjelasan semula sebab ini ada dalam hansard dan diupload dalam media sosial.

“Menteri (Saifuddin) lebih lagi sebagai Setiausaha Agong kepada parti Yang Amat Berhormat sendiri, saya yakin bahawa ada satu penjelasan.

“Adakah benar fokus Perdana Menteri sekarang ialah berunding untuk mengeluarkan rakyat Gaza dari tanah air mereka yang itu tidak dipersetujui dengan aspirasi rakyat Palestin,” katanya.

Fadhli pada masa sama meminta Perdana Menteri menjelaskan status yang dikatakan beliau pernah menjadi ahli kepada pertubuhan Liberal International yang secara terang-terangan menyokong Israel.

“Yang kedua pertubuhan Liberal International yang telah mengeluarkan sokongan terhadap Israel dan telah pun ditulis bahawa YAB salah satu anggota dalam pertubuhan berkenaan.

“Alhamdulillah ia telah dinafikan oleh Menteri Komunikasi (dan Digital) dan logo parti YAB telah dikeluarkan daripada pertubuhan tersebut, cumanya apabila kita selidik balik, rupanya kenyataan parti YAB salah satu ahli daripada Liberal International ini telah disahkan oleh naib presiden itu daripada tahun 2016 dan pertubuhan berkenaan juga mengeluarkan ucapan tahniah merujuk kepada parti YAB sebagai ahli tetap.

“Saya fikir tidak menjadi masalah kalau kita sekadar menjadi ahli tetapi berbeza daripada sudut pandangan dalam isu Israel tetapi apabila dinafikan kemudian dibuktikan bahawa ia sebenarnya tidak begitu,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minta perkara itu diperjelaskan semula.

“Kenyataan Menteri Dalam Negeri yang saya lihat betul-betul mengeluarkan dari bahaya bukan berpindah di luar. Tidak mengapa, apabila dibangkitkan, saya minta perkara ini dijelaskan.

“Kita tidak setuju dikeluar, ini dipermain di media barat, dia kata tidak ada negara Islam yang mahu terima orang-orang Gaza, itu kenyataan yang mengelirukan dan jahat,” katanya.

Anwar juga menafikan partinya pernah menjadi ahli kepada pertubuhan Liberal International. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -