‘Double standard’ 14 negara tolak gencatan senjata

Hipokrit biarkan Israel langgar hak asasi kemanusiaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat selaku kuasa besar dunia bersama 13 lagi negara kuncu-kuncunya tidak mampu menyembunyikan sikap hipokrit mereka terhadap perjuangan hak asasi manusia yang dilaungkan selama ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, dengan situasi sedang berlaku di Gaza di mana kanak-kanak, wanita dan warga emas turut menjadi sasaran tentera Zionis-Israel, hal kemanusiaan sepatutnya diutamakan.

Resolusi gencatan senjata di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 berkecuali, baru-baru ini.

Negara yang menentang itu adalah Israel, Amerika Syarikat, Austria, Croatia, Republik Czech, Fiji, Guatemala, Hungary, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Papua New Guinea, Paraguay dan Tonga.

“Apa yang berlaku di Gaza ialah satu sikap ‘double standard’ yang ditunjukkan oleh kuasa-kuasa yang dikepalai oleh Amerika dan kuncu-kuncunya. Nak menunjukkan bahawa mereka mempunyai apa saja yang boleh mereka lakukan terhadap negara-negara yang tak bersehaluan dengan mereka.

“Hospital, rumah ibadat tidak boleh disasarkan walaupun dalam waktu perang, tidak boleh dimusnahkan. Tapi ia dilakukan juga oleh Israel laknatullah. Maka apa yang berlaku ini kita dapat lihat lagi satu sikap Amerika dengan kuncu-kuncunya tadi. 

“Kerana sekarang ini yang melakukan itu adalah anak didik mereka. Maka mereka tak ambil tindakan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai kesal dengan sikap tersebut.

Ustaz Idris bagaimanapun percaya resolusi tersebut akan segera dipersetujui apabila Israel berada dalam situasi diserang teruk atau ditawan oleh kehebatan para mujahidin yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Beliau yakin situasi tersebut akan berlaku dengan izin Allah SWT dan ketika itu Amerika bersama negara-negara kuncunya akan meminta gencatan senjata segera diadakan bagi menyelamatkan Israel.

“Maka saya yakin dan percaya waktu itu barulah mereka minta supaya gencatan senjata itu berlaku. Apabila negara kesayangan mereka telah mengalami kekalahan. Tapi sekarang mereka biarkan.

“Kita kena ingat ini satu peperangan yang panjang dan saya yakin dan percaya kalangan tentera-tentera mujahidin Palestin tidak akan mudah untuk menyerahkan begitu saja, malahan mereka akan mempertahankan maruah demi bumi suci dan juga terdapatnya di sana Masjid Al-Aqsa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -