Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Himpunan Solidariti Rakyat Palestin secara besar-besaran peringkat negeri Kedah akan diadakan pada 12 November ini.

Pengerusi Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, program berkenaan merupakan kerjasama antara YKS bersama Pejabat Menteri Besar Kedah, Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

- Advertisement -

“Program bermula dari jam 11 pagi dengan pelbagai aktiviti melibatkan kanak-kanak, pemuda dan lain-lain hingga petang.

“Manakala sebelah malam diadakan solat hajat berjemaah, seterusnya acara kemuncak pidato khas kira-kira jam 9 malam,” jelas beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Program yang bakal diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman menyasarkan jumlah kehadiran sehingga 50, 000 orang.

Selain penduduk Kedah, Musoddak mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari negeri jiran (Pulau Pinang, Perlis dan Perak) ke Himpunan Solidariti sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang dibantai kejam Zionis Israel.

Antara pemidato yang bakal berucap pada malam itu termasuklah, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Brother Muslim Imran (wakil Palestin), Nadir An-Nuri (Cinta Gaza Malaysia), Dr Mohd Khalil Abdul Hadi Awang (Malaysia Aid4Palestine) dan Pengasas YKS, Dato’ Ahmar Yahaya.

Kedah menyasarkan RM1 juta sumbangan Palestin yang akan disalurkan melalui PASrelief untuk membina semula Hospital Gaza yang musnah akibat serangan bom. – HARAKAHDAILY 5/11/2023

- Advertisement -