Noktahkan kegiatan dan ancaman LGBTQ dalam negara ini

- Advertisement -

PENDIRIAN yang kabur oleh kerajaan diterajui Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan banyak kekeliruan. Terkini dalam isu solidariti Palestin.

Tetapi antara dilihat paling meragukan adalah dalam isu LGBTQ. Sudah beberapa kali komuniti songsang dan luar tabii itu tampil secara terbuka.

Terbaharu kelmarin dahulu (2 November 2023), komuniti LGBTQ mengadakan acara hiburan dan mempromosikan jualan secara atas talian. Program tersebut dikatakan berlangsung di sebuah premis di Pulau Pinang.

Namun, hasil maklumat dan pengesahan dari pemeriksaan dilakukan, aktiviti tersebut diadakan secara terbuka di Penang Island Plaza. Ini membangkitkan kekhuatiran, apakah Pulau Pinang akan menjadi medan ‘test market’ untuk penganjuran seumpama diperluaskan atau dipergiatkan selepas ini?

Perdana Menteri sendiri pernah mengungkapkan agar ‘hak mereka tidak wajar diganggu’ merujuk kepada komuniti itu. Apakah ini ‘jaminan perlindungan’ yang menyebabkan komuniti tersebut berani beraksi?

Ketika sama laporan kes HIV AIDS dilaporkan semakin meningkat dalam kalangan pelaku seks songsang dan luar tabii. Menunjukkan aktiviti mereka menyumbang kepada akibat malapetaka.

Kerajaan ada menyatakan konsisten agensi seperti JAKIM mengusahakan kesedaran dalam kalangan Muslim. Tetapi hakikatnya masyarakat bukan-Muslim di negara kita juga menolak kuat LGBTQ.

Oleh itu kerajaan menerusi pihak berkuasa keselamatan dan ketenteraman awam diminta bertegas menangani aktiviti LGBTQ. Tidak harus sebarang kegiatan mereka dikompromikan dari tindakan undang-undang.

Sebelum ancaman kebebasan mereka menjadi semakin meluas, mempengaruhi dan menjebak ramai orang, ia mesti dinoktahkan secara komprehensif dan holistik.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 5/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -