Tamat subsidi: Harga ayam akan naik mendadak

Dato' Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menamatkan subsidi bermakna harga ayam akan diapungkan berdasarkan kondisi pasaran termasuklah bagaimana keadaan permintaan dan pengeluaran mempengaruhi harga.

- Advertisement -

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim meletak sedikit kebimbangan bagaimana nanti peranan kartel dalam mencatur pengeluaran demi untuk meletakkan harga pada paras yang menguntungkan mereka.

Menurutnya, kerajaan perlu memperincikan bagaimana mekanisma kawalan yang dinyatakan untuk mengelakkan aktiviti pengambilan untung berlebihan apabila ayam bukan lagi dikategorikan sebagai barangan kawalan.

“Barangan kawalan memang dimaklumi ada harga siling. Tapi bagaimana dengan pengawalan harga bagi barangan bukan kategori kawalan?,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini (1 Nov).

Menurut Dr Azman, jualan rahmah adalah langkah sementara dan terhad tetapi ianya bukan penyelesaian.

Katanya, ukanlah suatu fenomena yang baik untuk melihat rakyat beratur panjang setiap kali program jualan rahmah dibuat.

Bila subsidi harga ayam tamat maka secara automatik harga ayam akan naik mendadak lebih-lebih lagi apabila nilai ringgit semakin lemah,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya, kesan langsung secara domino effect daripada kejatuhan nilai ringgit itu adalah kerana bahan mentah bagi pembuatan makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya akan naik melambung juga.

“Rakyat kini sudah sedia susah. Ayam adalah sumber protein paling murah dan mudah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, dalam apa jua situasi ekonomi negara sekalipun, barangan makanan asas rakyat yang menjadi keperluan harian tidak sepatutnya diapungkan seolah-olah menyerahkan nasib rakyat dalam situasi wait and see. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -