
KUALA LUMPUR: Kemalangan dalam pertandingan sukan permotoran menjadi kebimbangan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan untuk menangani masalah itu.
Menurutnya, undang-undang yang memantau dan menyelia pertandingan pemotoran terletak di bawah kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihat Berkuasa Tempatan (PBT).
“Penglibatan KBS agak minimum dalam hal ini. Apakah KBS bercadang untuk terlibat lebih proaktif untuk memastikan sukan permotoran peringkat akar umbi selamat bukan sahaja membabitkan peserta, malah penonton.
“Kita tahu apa yang berlaku, kemalangan berlaku sejak beberapa tahun lalu. Apakah dasar KBS untuk memastikan hal ini tidak berulang atau dikurangkan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan asal pula, beliau meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan inisiatif KBS untuk mempromosikan sukan permotoran terutama dalam kalangan anak muda, termasuk peruntukan untuk pembinaan litar permotoran, sekali gus melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abdul Halim memberi jaminan bahawa KBS memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan dalam penganjuran sebarang bentuk pertandingan berkaitan sukan pemotoran.
Selain PDRM dan PBT, katanya KBS perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) yang menyelia setiap aspek keselamatan
“Ini adalah amalan berterusan yang KBS kenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk sukan pemotoran yang sudah tentu membabitkan aspek keselamatan orang ramai dan peserta pertandingan.
“Bagaimana, kita tidak menafikan masih terdapat beberapa kes yang dikesali berlaku dan kita pertingkatkan pemantauan terhadap undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh MAM, PDRM serta PBT,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023











