
KOTA BHARU: NGO i-Reach Malaysia mengecam keras kekejaman Zionis Israel membunuh peenduduk tanpa belas kemanusiaan termasuk disasarkan wartawan dan keluarga mereka.
I-Reach turut menyifatkan serangan yang mengorbankan keluarga Ketua Biro Akhbar Berita Al-Jazeera, Wael Dahdouh, 53, sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa i-Reach Malaysia-Gaza, Johan Arif Ismail berkata, antara keluarganya (Wael) yang terbunuh termasuk isterinya Amna, dua anaknya, Mahmoud, 16 tahun dan Sham 7, serta cucu lelakinya Adam berusia 18 bulan.
“Wael Dahdouh, wartawan Al Jazeera bertugas menyampaikan berita Al Jazeera sejak 2004, sebagai tulang belakang liputan serangan Israel di Gaza.
“Beliau pernah mendapat Anugerah Hamas pada 2021 daripada Timbalan Ketua Hamas di Gaza Khalil al-Hayya, malah disifatkan sebagai wartawan yang berani kerana sanggup mengambil risiko menyiarkan berita tentang kekejaman Israel,” ujarnya di sini.
Johan juga berkata, sehingga hari ke-22 serangan berdarah itu berlaku seramai 22 wartawan yang membuat liputan di Gaza terkorban angkara rejim Zionis, termasuk sejumlah 7,326 warga Palestin yang syahid.
“Pihak i-Reach mengutuk serangan zionis ke atas wartawan di Gaza yang jelas menunjukkan ketakutan perbuatan jahat mereka dilihat dunia dan berniat ingin mengurangkan liputan di sana,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan sehingga ke hari ini sejak dua hari lalu, petugas i-Reach di Gaza masih tidak dapat dihubungi.
Munurutnya, pesanan terakhir yang disampaikan salah seorang petugasnya di Gaza City memaklumkan mereka telah mengedarkan sebanyak dua kali makanan siap dimakan di pejabat komunikasi i-Reach sebelum diletupkan Zionis Israel.
“Sehingga kini saya tidak menerima sebarang perkembangan aktiviti bantuan i-Reach Malaysia, sama-samalah kita berdoa semoga mereka semua selamat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2023











