
ALOR SETAR: Ibu kepada lapan orang anak, Janira Ain Abu Bakar, terkejut dan sebak selepas terpilih sebagai Naqibat Pelatih Terbaik, Akademik Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) bagi negeri Sabah sempena Majlis Konvokesyen APSA (MKA) kali ketiga, semalam.
Menurutnya, apabila ternampak namanya di dalam buku atur cara, dia terus menangis kerana baginya di antara ramai insan hebat, sangat mustahil beliau terpilih.
“Saya terus sebak, terkenang ayah, mak, suami dan anak-anak. Alhamdulillah, semuanya dari Allah dan berkat kerja berkumpulan bersama sahabat juga.
“Saya seorang introvert. Hari pertama kelas, kami dah mula ada perbincangan. Saya masih ingat, perbincangan pertama saya memang menunduk supaya tidak perlu membentang atau ditanya soalan,” katanya kepada Harakahdaily.
Pada masa itu, Ain baru sahaja habis berpantang anaknya yang kelapan dan membawa bayinya masuk ke kelas untuk belajar sambil bergilir-gilir bersama sahabat lain.
Katanya, ketika itu terserlah ukhuwah dan kehebatan sahabat-sahabat yang bersama-sama menuntut ilmu dengan cabaran yang sangat banyak turut sama membantu menjaga bayinya.
Beliau pada ketika itu menjadi Ketua Penerangan PAS kawasan dan Dewan Muslimat Putatan dalam keadaan anaknya yang akan menghadapi peperiksaan SPM, PT3 dan UPSR terpaksa menangguhkan pengajian pada hujung tahun 2019.
Akhirnya, Ain membuat keputusan menyambung semula pengajian semesta ke-3, dengan menambah matapelajaran lebih banyak daripada pelatih lain kerana merasakan sekiranya menangguh pengajian lagi, akan tetap ada kekangan.
“Alhamdulillah, Allah izinkan saya mampu mengurus semua di samping tugas sebagai isteri, ibu dan petugas jemaah.
“Matlamat utama saya menyambung pengajian untuk memperbaiki diri serta menambah ilmu supaya lebih berkeyakinan untuk bercakap dengan masyarakat,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan selepas berpindah ke Rasah.
Selain itu, beliau ingin menjadi contoh kepada anak-anak kerana selalu berpesan belajar itu sepanjang hayat dan sentiasa semangat menuntut ilmu.
Ain turut mengajak kepada semua ahli agar mendaftar dalam pengajian di APSA kerana pembelajaranya sangat berbeza di tempat lain, ia disandarkan dengan realiti dalam bergerak kerja.
Ini kerana, kemahiran serta ilmu yang diperolehi daripada silibus yang diatur dengan baik dan sistematik itu sangat-sangat membantu ahli dalam bekerja untuk jemaah.
Selain itu, nilai dan elemen AKIFI sangat ditekankan sebagai tunjang pembelajaran, jadi perspektif lebih holistik dengan sisi pandang yang lebih meluas dan mendalam, secara tidak langsung akan mewujudkan wehdatul fikr dan wehdatul amal.
“Saya mengambil peluang ini menyeru sahabat-sahabat ahli PAS untuk dapatkan maklumat tentang APSA dan mendaftar segera. Jangan risau tentang yuran, kerana ada ansuran yang sangat fleksibel serta memahami kekangan semua.
“Terima kasih kepada para pensyarah, admin, sahabat-sahabat sepengajian khususnya sahabat satu kumpulan yang sangat bersinergi perbincangan dan saling melengkapkan.
Beliau turut berterima kasih buat ayahanda dn bonda yang banyak mendoakan, suami yang sangat memberi sokongan dan sabar, serta anak-anak yang sentiasa memahami keperluannya dalam belajar.
Seramai 35 orang graduan daripada Sabah telah menerima Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) sempena Majlis Konvokesyen APSA tersebut. – HARAKAHDAILY 29/10/2023











