
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengajak rakyat Malaysia supaya memboikot produk barangan yang menyokong dan memberi bantuan kepada zionis Israel.
Katanya ini kerana rejim zionis yahudi Israel itu semakin sombong dan bongkak meneruskan kekejaman berterusan terhadap umat Islam di Palestin.
Beliau menegaskan serangan Hamas dijadikan alasan untuk terus membedil membabi buta kononnya sebagai tindak balas.
“Walhal mereka secara berterusan selama ini sebagai pendatang menyerang penduduk asal Palestin.
“Tindakan pengeboman melibatkan orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua malah rumah ibadat, masjid-masjid, rumah awam dan hospital dibom atas kegilaan regim zionis ini,” ujarnya.
ADUN Sijangkang itu berkata tindakan rejim zionis Israel pula disokong oleh sekutu-sekutunya dan syarikat-syarikat tajaannya.
Justeru beliau mengingatkan menjadi tanggungjawah rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk membantu secara langsung, yang mengutuk sekeras-kerasnya rejim zionis Israel dan sekutunya harus terus memboikot produk barangan yang menyokong dan memberi bantuan kepada zionis. – HARAKAHDAILY 27/10/2023




















