
SAYA banyak menerima cadangan untuk menghidupkan Lapangan Terbang Kertih atau membuat sebarang program berkaitan penerbangan.
Berkenaan dengan projek Lapangan Terbang Kertih, Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk menguruskan projek ini daripada pihak PETRONAS sehingga tempoh 31 Mac 2026.
Antara perkara yang dipersetujui bersama adalah cadangan penyerahan keseluruhan aset seperti tanah, bangunan dan peralatan di Lapangan Terbang Kertih. Dengan penyerahan ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengekalkan tapak Lapangan Terbang Kertih untuk aktiviti berkaitan penerbangan.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Lapangan Terbang Kertih yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau proses penyerahan Lapangan Terbang Kertih serta menilai business model cadangan pengurusan Lapangan Terbang Kertih sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang berkenaan.
Tambahan, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) telah dilantik untuk meneroka potensi serta merangka pelan pengoperasian Lapangan Terbang Kertih setelah penyerahan penyerahan oleh PETRONAS.
Namun, hasil kajian oleh Terengganu Inc. yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Lapangan Terbang Kertih mendapati bahawa Lapangan Terbang Kertih tidak mempunyai potensi yang cukup baik untuk Kerajaan Negeri meneruskan operasi sebagai Lapangan Terbang dan aktiviti berkaitan penerbangan.
Jawatankuasa memutuskan agar Terengganu Inc. meneruskan kajian lanjut untuk meneroka potensi serta bidang lain untuk pembangunan seterusnya di tapak Lapangan Terbang Kertih.
YAB DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 26/10/2023




















