
KUALA LUMPUR: Ustazah Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) dalam perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, memberi tumpuan terhadap cabaran yang bakal memberi kesan kepada ibu muda, terutama dalam pemilikan rumah.
Menurutnya, syarat mewajibkan 30 peratus pembinaan rumah kos rendah dalam setiap pembangunan perumahan swasta diperkenalkan pada 1981.
Ketika itu, katanya harga rumah kos rendah yang dibina oleh sektor swasta ditetapkan tidak melebihi RM25,000.
“Saya berpandangan fasa kedua Dasar Perumahan Negara bertemakan Perumahan Untuk Mengatasi Masalah Kemiskinan (1970-1985) perlu disemak semula untuk dijadikan modul bagi mengatasi kemiskinan dan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Perkara ini melibatkan kumpulan miskin bandar kerana tanggungjawab untuk menyediakan rumah terletak di bawah Kerajaan Pusat dan negeri.
“Di Pulau Pinang, nilai rumah kos rendah terbahagi kepada dua, iaitu rumah kos rendah jenis A bernilai RM42,000 manakala jenis B bernilai RM72,500,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya projek perumahan sekarang perlu menumpukan kepada pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Tumpuan mesti diberikan untuk memperbanyakan dan menyegerakan pembinaan PPR secara jualan atau sewa dan beli atau rumah kos rendah jenis A dan B, terutama di Pulau Pinang yang bernilai bawah RM80,000 kepada pasangan keluarga muda, ibu tunggal, terutama ibu muda yang baru bekerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023











