
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta kerajaan menyatakan langkah yang perlu dilakukan pengendali lebuh raya bagi memastikan keselamatan pengguna.
Beliau turut ingin tahu bentuk kemalangan yang pengguna boleh menuntut pampasan jika berlaku di lebuh raya dan nilai tuntutan yang diluluskan kepada pengguna.
“Sedar atau tidak Kementerian Kerja Raya (KKR) bahawa kemalangan juga dberlaku akibat keadaan lebuh raya yang gelap. Di Lebuh Raya Pantai Timur 2, ada kawasan terlalu terang.. terang benderang, ada yang terlalu gelap.. gelap gelita.
“Apa pandangan atau tindakan kementerian bagi menangani perkara ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, beliau mengucapkan takziah kepada tiga anggota Dewan Muslimat PAS Sungai Petani yang maut ketika dalam perjalanan pulang dari muktamar PAS di Shah Alam, Selangor.
Mereka dikatakan dirempuh sebuah kereta lain ketika berhenti di tepi lebuh raya untuk memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan lain di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Behrang, Perak, Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa prihatin terhadap keselamatan pengguna lebuh raya dan mengarahkan syarikat konsesi untuk membuat rondaan dengan lebih kerap.
“Pengguna lebih raya yang terlibat dalam kemalangan boleh mendapatkan khidmat nasihat kementerian supaya boleh menuntut pampasan.
“Kami akan pantau secara keseluruhan dan jika terdapat perkara seperti dikatakan (kemalangan akibat keadaan lebuh raya) kalau boleh laporkan kepada kami (kementerian). Lebih baik aduan dibuat secara dalam talian atau menulis surat supaya tindakan boleh diambil.
“Dari segi tuntutan, saya minta maaf Yang Berhormat Hulu Terengganu.. saya tidak ada data dan saya akan beri jawapan secara bertulis,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023











