Kapal MRSS berusia 40 tahun perlu diganti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penangguhan pemilikan Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyebabkan Kementerian Pertahanan diminta memberi penjelasan mengenai keputusan itu.

Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berkata, keperluan MRSS amat penting di perairan negara bagi mengantikan kapal MRSS sekarang yang sudah menjangkau usia hampir 40 tahun.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan langkah tersebut sama ada kerajaan bakal membuat penilaian semula terhadap pemilikan MRSS untuk menjaga kedaulatan negara sentiasa terjamin.

“Saya meminta Menteri Pertahanan menyatakan adakah kementerian akan menilai semula keputusan yang telah dibuat sebelum ini untuk menangguhkan pemilikan kapal MRSS.

“Kapal MRSS sedia ada telah berusia hampir 40 tahun yang akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan keupayaan kapal MRSS,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Program Transformasi TLDM 15 to 5 telah memperincikan rancangan perolehan tiga buah kapal MRSS dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

RMK13 dijangka bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 kata beliau, bagi memberi peluang perolehan kapal Littoral Mission Ship (LMS) dan kapal kontroversi, Littoral Mission Ship (LCS).

Beliau berkata, program itu juga memberi tumpuan kepada program peningkatan keupayaan kombatan untuk aset tentera sedia ada.

“Ini untuk memenuhi keperluan operasi TLDM melalui perairan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, selain bantuan logistik dan kemanusiaan antarabangsa apabila diperlukan.

“Bagaimanapun fokus TLDM kini kita tumpu kepada program peningkatan keupayaan aset kombatan yang lebih kritikal seperti meneruskan program perolehan LCS dan LMS,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -