Selain rumput Zeon Zoysia, kerajaan bantu apa?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta kerajaan memperincikan bentuk bantuan kepada kerajaan negeri, selain membiayai kos rumput di stadium.

“Apakah bentuk sokongan kerajaan untuk menampung kos penyelenggaraan padang secara keseluruhan seperti menaik taraf sistem pemparitan atau pembelian mesin.

- Advertisement -

“Ini memandangkan kos terbabit perlu ditanggung oleh negeri yang berminat menukar rumput kepada Zeon Zoysia,” katanya ketika bertanyakan soalan tambahan pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut soalan asal, Muhammad Islahuddin meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah kementerian akan mengguna padang jenis Zeon Zoysia di stadium lain selain Stadium Nasional Bukit Jalil memandangkan kualiti padang tersebut terbukti berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Hannah Yeoh memberitahu bahawa tawaran kepada setiap kerajaan negeri adalah memilih satu stadium dahulu untuk menerima sumbangan rumput Zeon Zoysia.

Katanya, tawaran itu terhad kepada penanaman rumput, manakala kerja menaik taraf stadium perlu diusahakan oleh kerajaan negeri kerana setiap stadium yang dipilih mempunyai keadaan yang berbeza.

“Saya bagi contoh mungkin negeri A hanya perlu menaik taraf sistem saliran, manakala negeri B mungkin hanya perlu naik taraf tanah.

“Oleh sebab itu, tawaran yang kita berikan adalah untuk kos rumput sahaja dan mereka tidak kata mereka tidak berminat. Kebanyakan negeri kata mereka nak tunggu dulu untuk mengkaji dari segi kos penyelenggaraan setiap bulan, sama ada kerajaan negeri mampu atau tidak untuk meneruskan projek tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -