
SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menyatakan tekad pihaknya membesarkan lagi saiz sayap itu yang kini sudah berada di 124 PAS kawasan seluruh negara.
Menurut beliau, baki 55 Kawasan lagi yang berbaki akan diusahakan pembentukan Dewan itu dalam keseorangan berkembang dengan meletakkan kekuatan organisasi sebagai teras utama.
Jelasnya, kewujudan Dewan Ulamak di peringkat PAS Kawasan akan meningkatkan usaha saling membantu dan menampilkan peranan ulamak dan pelbagai sudut yang diperlukan jemaah.
“Dengan kewujudan Dewan Ulamak menggantikan Urusan Ulamak sudah tentu tidak memadai pembesaran pada saiznya sahaja. Tetapi harapan daripada rakyat, masyarakat dan umat ialah peranan.
“Peranan yang perlu dimainkan oleh Dewan Ulamak ialah menjadi tempat rujukan. Justeru tema Muktamar yang kita letakkan ialah ‘Ulamak Peneraju Penyelesaian Islam’ yang membawa maksud ulamak mesti bersiap sedia.
“(Iaitulah) untuk menjadi tempat rujukan menyelesaikan masalah umat dan menjadi penyatu kepada umat ini,” ujarnya pada sesi ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC, di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyentuh isu khilafiah dalam kalangan ulamak di mana diharapnya akan ditangani agar tidak menjadi masalah perpecahan jika salah diuruskan. – HARAKAHDAILY 22/10/2023




















