Tanggungjawab menanti pemenang pemilihan kepimpinan PAS Pusat 

Hashim Jasin
- Advertisement -

SHAH ALAM: Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, berharap agar semua pemenang dalam pemilihan kepimpinan PAS Pusat dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam melaksanakan tanggungjawab semampu yang boleh.

“Kita baru sahaja diumumkan pemenang-pemenang dalam pemilihan kepimpinan PAS Pusat oleh Datuk Pengerusi Pilihanraya PAS Pusat.

“Ada beberapa jawatan terlalu banyak yang menang tanpa bertanding. Cuma apa yang saya nak sebut disini, ada satu jawatan jika jawatan itu diwajibkan untuk dicalon dan dipertandingkan, saya rasa jawatan itu gagal untuk kita laksanakan.. jawatan apa? Mursyidul Am,” katanya.

Terdahulu, ketika beliau terlibat dalam pemilihan calon Mursyidul Am PAS, pimpinan terbesar kebanyakannya dipaksa untuk menerima jawatan tersebut.

- Advertisement -

“Saya ada terlibat sedikit sebanyak pemilihan Mursyidul Am PAS, ketika Allahyarham Tuan Guru Yusuf Rawa meninggal.. kita sibuk nak cari pengganti, dan dalam satu perjumpaan mesyuarat dicadangkan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Tan Sri Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pegang jawatan itu (beliau dalam masa sama Menteri Besar Kelantan pada ketika itu).

“Beliau teriak, hampir menangis dan tolak jawatan itu, beliau tidak mahu.. apabila beliau tak mahu puas kami pujuk, tanya beliau balik, Tuan Guru.. kalau tak terima jawatan ini.. tunjukkan kepada kami seorang yang untuk dilantik sebagai Mursyidul Am.. dia pun senyap, akhirnya dipaksa untuk terima jawatan Mursyidul Am.

“Apabila Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia, kita adakan mesyuarat.. timbalan beliau pada ketika itu adalah Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, kita pun terus nak angkat saja, timbalan pegang kepada Mursyidul Am, Dato’ Harun Din pula tak mahu, dia menolak dengan alasan faktor kesihatan.. perkara yang sama kita bangkitkan, kalau ente tak boleh tunjukkan sorang, dia pun senyap, tak tahu nak kata apa, akhirnya kita paksa dia terima,” katanya.

Selepas pemergian Almarhum Tuan Guru Dato’ Haron Din, Tuan Guru Dato’ Hashim dengan penuh semangat hadir dalam mesyuarat kerana adanya timbalan Mursyidul Am.

“Kita cadangkan naik aje timbalan kepada Mursyidul Am, tapi Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob  bercakap panjang, dia merayu-rayu sehingga yang ‘mencadangkan’ pun kasian kat dia.. bijaknya dia.

“Maka, Presiden paksalah Mursyidul Am hari ni (saya) terima.. tiga hari saya tidak boleh tidur, balik rumah muka masam.. satu tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepada saya untuk saya pikul, terpaksa pikul.

“Sebab itu saya kata.. kalau jawatan ini ada dan dicalonkan untuk dipertandingkan, calon ramai tapi semua tak teringin, tiada siapa teringin untuk pegang jawatan ini.

“Itulah yang akan berlaku dan kita berharap bahawa kita semua akan menumpukan sepenuh tenaga. Apabila aku arah kamu melakukan sesuatu.. lakukanlah semampu yang boleh, ini tanggungjawab dan tugas kita,” katanya.  – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -