
SHAH ALAM: Golongan pempengaruh (influencer) PAS perlu diberi penghargaan kerana mereka berjuang tanpa mengharapkan sebarang bayaran.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, golongan tersebut sudah banyak bertempur dan memberikan hujah yang kukuh dan telah menghadapi banyak penghinaan daripada pemimpin pihak lawan.
“Di sini, saya ingin menyatakan bahawa mereka (pempengaruh) telah bekerja tanpa bayaran dengan keikhlasan dan inilah yang menentukan kemenangan yang sebenar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mereka juga tidak pernah diajar berjuang untuk meminta bayaran berbeza dengan mana-mana parti pihak lawan.
“Ini membuktikan PAS hanya berniat untuk perjuangan dengan ikhlas niat kerana Allah S.W.T. semata-mata dan jika kamu berjuang dengan mengharapkan wang dan balasan itu hak kamu.
“Perkara sebegini perlu difahami oleh pihak lawan yang mana mereka perlu belajar daripada perjuangan PAS itu sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-69 yang diadakan di IDCC, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Setar itu juga berkata, terdapat peningkatan pengundian dalam kalangan golongan muda terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
“Menurut data-data yang kita ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN yang lepas terdapat peningkatan pengundian dalam kalangan golongan antara berumur 25 hingga 30 tahun daripada 40 peratus ke 59 peratus,” ujarnya.

Menurut beliau, perkembangan itu jelas membuktikan bahawa golongan muda telah memberikan sedikit sebanyak kepercayaan yang ketara kepada PN.
Tambahnya, terdapat juga peningkatan sokongan dalam kalangan golongan yang berumur 30 hingga 40 tahun yang mana daripada 41 peratus meningkat ke 58 peratus terhadap PN.
“Maka saya ingin mengucapkan terima kasih kepada golongan pemuda dan seluruh penyokong yang mengundi PAS dan PN kerana memberi kepercayaan kepada kami dalam terus memimpin negeri dan negara.
“Ini membuktikan bahawa pengundi dalam kalangan golongan muda tidak boleh diabaikan oleh PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2023




















