
SHAH ALAM: Sidang As-Sabiqun berazam untuk meninggalkan legasi yang istiqamah dengan memikul tanggungjawab besar dalam melanjutkan perjuangan PAS, demikian kata Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.
“Dalam menjayakan peranan ini, kita menggariskan beberapa perkara untuk dilaksanakan kepada generasi baru. Pertama ialah perkongsian pengalaman yang menjadi aset yang terbesar kepada Sidang As-Sabiqun.
“Kerana dengan pengalaman yang dialami oleh mereka-mereka yang banyak berpengalaman itu ianya boleh dikongsikan kepada generasi yang baru supaya apa yang dapat dialami, dirasai. Perjuangan oleh orang-orang yang terdahulu itu dapat diturunkan kepada generasi baru.
“Yang keduanya, motivasi perjuangan yang sentiasa menghadapi mehnah dan tribulasi. Oleh kerana dalam perjuangan ini tidak lari daripada menghadapi cabaran dan dugaan. Maka sebab itulah maka kita juga pihak Sabiqun boleh memberikan sedikit pandangan.
“Juga nasihat kepada generasi supaya ianya akan terus istiqamah. Seterusnya mengkaderkan pelapis-pelapis perjuangan dengan memberikan latihan tarbiyah. Bukan sekadar meyakinkan mereka tentang keperluan untuk bersama dalam perjuangan ini.
“Tetapi menjadikan mereka sebagai kader-kader supaya perjuangan ini dapat diteruskan oleh mereka,” ujarnya pada ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC, di sini hari ini.
Keempat katanya, menggalakkan keaslian pandangan mereka yang menghadapi kecelaruan atau carian yang lebih hebat dari ideologi, kapitalisme, liberalisme, pragmatisme dan lain-lain.
Seru Dato’ Dr Mahfodz, menjadi tanggungjawab kepada semua supaya dapat memberikan penjelasan yang akan memandu generasi baharu terus berjuang dalam istiqamah.
As-Sabiqun juga menurutnya, mahu meninggal legasi solehah di mana berazam meletakkan PAS di tempat terbaik dengan mengekalkan keasliannya dalam dasar dan arah tujunya serta juga terus menjadikan al-Quran sebagai rujukannya.
Terdahulu dalam ucapan tersebut beliau turut memberikan nasihat untuk menjaga kemenangan yang telah dianugerahkan Allah dengan menghindari masalah-masalah dalaman sebagaimana akibat kejatuhan pernah dialami dahulu. – HARAKAHDAILY 22/10/2023




















