PN sasar menang di Perak atau Pahang dalam PRU16

- Advertisement -

SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL (PN) memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi negeri, sama ada Perak atau Pahang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa PAS di seluruh negara bergerak ke depan untuk ke peringkat seterusnya supaya lebih banyak negeri dimenangi PN.

- Advertisement -

Katanya, kemenangan itu juga dapat menambah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen seluruh negara.

“Ketika ini PAS mendominasi jumlah Adun dan parlimen. Namun kita memerlukan sekurang-kurangnya satu negeri lagi, sama ada Perak atau Pahang dimenangi PN pada PRU akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 69 di IDCC, hari ini.

Pada masa sama, katanya untuk mendepani cabaran, terutama di empat negeri yang dikuasai PN sekarang (Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah), PAS perlu mengambil langkah politik bersesuaian dan keluar dari kekangan pendekatan tradisi yang dilaksanakan sebelum ini.

“Setakat ini, PAS berjaya menguasai hampir 100 peratus ‘market’ tradisi seperti golongan agamawan (masjid-masjid), sekolah-sekolah agama, pondok dan lain-lain.

“Namun PAS perlu mengorak langkah politik yang tidak membosankan untuk menawan serta menakluk ‘market’ pengundi muda serta yang tidak berparti.

“PAS juga perlu melangkah ‘pagar’ sebelah, kiri, kanan, belakang, hadapan dengan pelbagai pendekatan politik dan tidak hanya terkekang (terkurung) dengan pendekatan tradisi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, mengharapkan semua wakil rakyat (Adun dan Ahli Parlimen) terutama dari PAS memainkan peranan penting terutama berkaitan arahan dan kehendak parti.

Katanya, mereka perlu membina hubungan yang baik bersama parti di peringkat masing-masing dan tidak membelakangkan keputusan parti.

“Hindari perselisihan antara PAS kawasan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR). Kedua-duanya mempunyai peranan untuk mempertahan serta memenangkan PAS.

“PAS kawasan dan negeri juga jangan meninggalkan wakil rakyat sendirian. Kedua-duanya perlu bergerak seiring. PKWR perlu difungsikan serta memberi servis (perkhidmatan) sebaiknya kepada rakyat,” nasihat beliau.

Mengulas lanjut, katanya PAS perlu memainkan peranan sebagai pemain utama dalam menentukan hala tuju negara dan negeri.

Kerajaan yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), katanya akan membuat pencaturan persempadanan semula (setiap 10 tahun ) agar tidak memberi kelebihan kepada PN.

Beliau berkata, tiada parti lain yang boleh dipercayai ketika ini melainkan PAS dan penglibatan semua pihak diharapkan dapat menjayakan misi dan visi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -