Memperundangkan agenda amar makruf nahi munkar 

- Advertisement -

SHAH ALAM: Agenda amar makruf nahi munkar mempunyai peluang lebih luas untuk dilaksanakan melalui polisi dan undang-undang di bawah bidang kuasa negeri yang diterajui oleh PAS-Perikatan Nasional (PN).

Perwakilan Dewan Muslimat PAS, Mardhiyyah Johari berkata, tanpa memegang kuasa, usaha tersebut penuh dengan keterbatasan, namun hari ini ia adalah tuntutan dalam implementasi mengisi kemenangan.

“Negeri-negeri yang kita perintah harus merencana agar kerja-kerja makruf dan berkebajikan ini dapat diserap melalui polisi yang akan dinikmati oleh rakyat. Good governance, negara berkebajikan, mesti diterjemahkan dalam pemerintahan. 

“Sehingga rakyat dapat merasakan sejahteranya Islam. Kita lihat bagaimana reformasi sistem sebenar yang pernah dibawa oleh Almarhum Tuan Guru (Dato’) Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

“Seperti polisi rumah tiga bilik, cuti bersalin 60 hari yang membawa kepada kesejahteraan rakyat yang sebelumnya rakyat tak pernah rasa. Tetapi apabila gerakan Islam memerintah negeri, dapat kuasa, maka rakyat dapat merasai.

“Kita lihat juga bagaimana penghapusan tol dan cukai pintu rumah kediaman semasa Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu, termasuk hari ini kita lihat polisi memudahkan pemberian geran dan lesen pendudukan sementara di Kedah, di bawah pentadbiran Dato’ Seri Sanusi Md Nor,” ujarnya.

Menurutnya, semua terjemahan amar makruf itu juga menjadi solusi dan penyelesaian permasalahan rakyat di mana dengan kuasa pada hari ini perlu dilakukan dengan lebih giat, kreatif dan inovatif.

ADUN Pengkalan Kundor yang juga seorang peguam itu bagaimanapun turut mengakui kekangan di peringkat Persekutuan dalam pelaksanaan amar makruf di peringkat negeri di sebalik laungan ‘Reformasi’ mereka laungkan dahulu.

“Manalah kita nak sangka kalau dahulu semasa berjuang di di jalanan beliau melaungkan ‘Reformasi’. Kita ingatkan banyaklah yang baik boleh dilakukan apabila beliau memerintah Kerajaan Persekutuan.

“Tapi hari ini siapa sangka maksud definisi kepada ‘Reformasi’ yang mereka canangkan adalah melepaskan 47 kes rasuah dan salah guna kuasa. Sebenarnya ada banyak lagi pencabulan-pencabulan reformasi itu,” bidasnya.

Beliau turut berharap negeri-negeri diterajui PAS dapat mempermudahkan para asatizah menyampaikan dakwah tanpa wujud birokrasi, sebaliknya ada ruang perbincangan dan diplomasi.

“Saya ingin menyentuh berkenaan perlu dan mustahaknya undang-undang Syariah dan peraturan-peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah bidang kuasa negeri yang mana undang-undang ini bersifat mencegah kejahatan, mencegah kemungkaran diperkasakan.

“Undang-undang Syariah adalah undang-undang yang bersifat nahi mungkar. Justeru perlu dilindungi, dipertahan dan diperkasa,” ujarnya mengajak perundangan itu disemak bagi berhadapan kes ia dicabar pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -