Kemenangan PAS Terengganu amanah Allah SWT

Mohd Fadhli Rahimi Zulkilfi
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kemenangan PAS di Terengganu adalah satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT dan bukannya kemegahan semata-mata.

Pembahas Negeri Terengganu Mohd Fadhli Rahimi Zulkilfi berkata sebanyak dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah berjaya diperoleh PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018.

- Advertisement -

“Atas kesabaran dan pendokong di Terengganu hampir 20 tahun, akhirnya dengan seruan Allah SWT,  PAS memperoleh kemenangan majoriti dua per tiga bersamaan 22 kerusi DUN tetapi ini merupakan amanah daripada-Nya,” katanya. 

Tambah beliau, kemenangan ini merupakan ujian yang cukup berat yang sememangnya perlu diuruskan dengan perancangan yang baik. 

Beliau menyatakan Perancangan Induk Terangganu Sejahtera (PITAS) merupakan antara perancangan yang dilakukan dalam mengisi Kemenangan yang diperoleh PAS di negeri tersebut. 

“Ini  merupakan satu perancangan bagi membawa Terengganu ke arah negeri yang maju,berkat dan sejahtera menjelang 2030,” katanya ketika sesi Perbahasan dalam Muktamar PAS Ke-69 yang diadakan di IDCC, di sini,  hari ini. 

Menurut beliau lagi, PAS di Terengganu telah berjaya mengotakan sebanyak 20 manifesto ketika PRU Ke-14 dan ditambahkan lagi dengan pelbagai program dan insentif yang lain melalui kerjasama daripada agensi dan pihak lain. 

Perkara sebegitu, ujar beliau, bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi dengan berbekalkan pengalaman yang dikumpulkan melebihi 20 tahun tetap dapat dilaksanakan dalam apa jua keadaan. 

“Oleh sebab itu, bermulanya dari situ kami meningkatkan kekuatan dengan tahap paling maksima dengan menambahkan lagi bilangan ahli dan merancakkan lagi aktiviti Lajnah PAS di negeri tersebut,”jelasnya. 

Beliau menyatakan dengan kemenangan yang berslogan sapu bersih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah membuatkan ahli-ahli PAS semakin bersyukur kepada Allah SWT.

Kata beliau, ini merupakan kemenangan yang besar yang mana daripada slogan sapu bersih telah menjadi kenyataan diikuti dengan kejayaan PAS dalam mentadbir negeri Terengganu dengan penuh berkualiti. 

“Ini yang menyebabkan kebanyakan rakyat Terengganu semakin banyak menyokong PAS dan menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), 

“Tidak tergambar rasa bersyukur kepada Allah SWT di atas kemenangan yang begitu hebat,” katanya. 

Beliau menyatakan negeri Terengganu pada hari ini telah diuji dengan penafian  kemenangan di kawasan Kemaman dalam PRN baru-baru ini yang mana satu Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di kawasan tersebut pada bulan Disember  ini. 

“Maka, saya dengan rendah hati meminta seluruh jentera PAS di negara ini dalam membantu dalam menghadapi PRK ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -