
SHAH ALAM: Biarpun hujan lebat memanjang sejak petang sehingga lokasi karnival bencah, namun ia tidak menghalang orang ramai hadir mengikuti ceramah 4 Menteri Besar PERIKATAN NASIONAL (PN) malam tadi.
Kata Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, “kita ingat keadaan bencah dan berselut di negeri yang ada bendang padi seperti di Kelantan dan Kedah sahaja, rupa-rupanya di Selangor pun berselut juga.
Beliau berkata, hujan lebat yang turun sejak petang menyebabkan suasana tempat karnival di kawasan padang menjadi bencah.
“Namun alhamdulillah orang ramai sanggup datang mengikut ceramah yang jarang-jarang diadakan dengan penampilan empat Menteri Besar PN,” katanya pada ceramah tersebut.
Lokasi karnival terpaksa diletak kayu dan benda keras bagi membolehkan orang ramai melalui memandangkan keadaan begitu bechah dan licin.
Keadaan hujan yang masih renyai-renyai tidak menghalang orang ramai memenuhi bawah khemah Karnival Gagasan Muslim sehingga ramai yang berdiri di sekeliling khemah kerana kerusi penuh.
Ceramah empat Menteri Besar tersebut menampilkan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Shukri berkata, PN mempunyai kepimpinan yang berkualiti bagi mentadbir sesebuah negeri termasuk Perlis.
“Alhamdullillah kami bukan sekadar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan tetapi juga memperoleh pelaburan sebanyak RM2.5 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan Perlis bukan sahaja menyelesaikan projek-projek pelaburan yang tertangguh termasuk pembinaan sebuah tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Loji Bekalan Air Kem Oran bukan sesuatu perkara yang mudah.
Kata beliau, kepimpinan yang berwibawa sentiasa diperlukan dalam menyelesaikan isu-isu tersebut lebih-lebih lagi apabila kurang mendapat bantuan daripada kerajaan persekutuan.
“Namun begitu alhamdullillah kami berjaya melakukannya dan juga mendapat pelaburan sebanyak RM2.5 bilion lagi dan ia menyebabkan kerajaan PH-BN terpaksa tutup mulut,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023











