PRU16: Ahli perlu hadam, fahami tema muktamar

- Advertisement -

SHAH ALAM: “Ucapan Dasar Presiden meletakkan pengharapan tinggi kepada ahli supaya kita bergerak kerja mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” kata Ustaz Sallehen Mukhyi.

- Advertisement -

Katanya, ia satu ucapan yang mesti diteliti dan dihadam oleh ahli-ahli, supaya tidak ada ahli-ahli yang tertinggal dalam memahami tema muktamar kali ini iaitu ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’.

“Dalam ucapan ini, Presiden menegaskan soal hala tuju, prinsip dan soal menjaga sokongan pengundi yang telah diberikan dalam PRU15,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebagai perwakilan PAS Selangor dalam Sesi Perbahasan Ucapan Terima Kasih Ucapan Dasar Presiden PAS yang berlangsung di IDCC, di sini, hari ini.

Katanya, Selangor tidak ketinggalan dalam pilihan raya yang lepas walaupun tidak dapat menguasai kerajaan negeri, tetapi dapat menguasai 22 kerusi.

Ini, ujarnya isyarat daripada rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada PN untuk memantapkan kedudukan agama dan bangsa dalam negara.

“PAS mesti menyambut kepercayaan ini,” katanya yang juga Adun Sabak.

Katanya, kejayaan yang terhasil merupakan petunjuk daripada Allah dan kebijaksanaan pemimpin mengatur strategi.

“Namun, kita tidak boleh memfokuskan keputusan yang diperoleh semata-mata dalam muhasabah PRU lepas, sebaliknya kita perlu meneliti secara keseluruhan terhadap apa yang kita capai.

“Kita perlu membincangkan daripada sekarang untuk melihat mana-mana DUN yang PN belum menang dan memerlukan bantuan dengan mewujudkan satu piawaian khusus,” tambahnya.

Tambhanya, hal ini kerana sepatutnya apabila ada jentera yang kuat, barulah calon boleh bertanding agar calon tidak terkial-kial bekerja sendiri. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -