PRU16: Prestasi wakil rakyat faktor terpenting kekalkan kemenangan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Wakil rakyat PAS perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan sokongan rakyat terus bersama PERIKATAN NASIONAL.

- Advertisement -

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, prestasi wakil rakyat adalah faktor terpenting dalam memastikan kerusi yang dimenangi sekarang terus kekal dalam PRU16 nanti.

“Turun ke lapangan, dekati masyarakat dan memperjuangkan nasib mereka yang dipinggirkan, di samping terus memberikan pendidikan dan kesedaran setiap masa,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Tambahnya, di samping berkebajikan kepada rakyat di kawasan, jangan dikesampingkan peranan hakiki seorang wakil rakyat sebagai penggubal undang-undang (ahli legislatif) di Parlimen dan DUN, bagi merangka, membahas, dan melaksanakan segala dasar dan polisi ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang tertegak di dalamnya nilai-nilai dan syariat Islam.

Mengenai berkebajikan, katanya bermaksud sesuatu yang membawa kebaikan yang bersifat menyeluruh dalam segala aspek mengikut kesempurnaan Islam.

Katanya, konsep berkebajikan lebih lengkap daripada istilah Welfare State dalam negara sekular yang terbatas dengan hanya bantuan kebajikan berbentuk kebendaan sesama manusia sahaja.

Tambah beliau, adapun berkebajikan mengikut takrif Islam itu merangkumi segala aspek kehidupan manusia yang meliputi hubungannya dengan Allah SWT dan makhluk.

Berkebajikan, jelas beliau merangkumi semua aspek, sama ada aspek aqidah yang mempunyai hubungan dengan Allah, mahupun aspek sosial seperti kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

Malah, ia juga melibatkan hubungan antara rohani dan kebendaan, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 177 yang bermaksud: “Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman dengan Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, para Nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam perjuangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.

Jelasnya, pelaksanaan yang sempurna dalam segala aspek tidak boleh dipisahkan laksana mata rantai yang tidak putus antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -