PAS wajib menjadi parti yang memandu kerajaan

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS wajib menjadi parti yang memandu kerajaan negeri yang ditadbir secara berjemaah bagi mengisi kemenangan yang lebih mencabar, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Walaupun kita tidak mempunyai kepimpinan yang boleh dibandingkan dengan peribadi Rasulullah SAW yang tiada bandingannya, begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin, ulama’ yang mujtahid, dan para ilmuwan profesional yang paling tinggi kepakarannya, akan tetapi, kita mempunyai petunjuk ilmu daripada kitab Allah yang dipelihara, hikmah Sunnah Rasul yang dijaga dan sejarah Hadarah Islamiah yang kaya,” katanya.

Semua itu, ujarnya merupakan sumber ilmu yang melimpah di samping dikurniakan tenaga umat yang cukup ramai.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

“PAS yang mempunyai ahli yang mencecah lebih sejuta perlu mengumpulkan kekuatan para ulama, ilmuwan dan teknokratnya secara sistematik, termasuk bekas menteri yang kini bersama kita, bagi menggali ilmu daripada sumber Islam yang kaya, dan mengamalkan dalam segenap kehidupan termasuk pentadbiran negeri dan negara,” katanya.

PAS juga, ujar beliau hendaklah terus beristiqamah dengan teguh di atas prinsip Islam yang sempurna dalam perkara rukun dan hukum yang ditetapkan tanpa berubah (thawabit) dan mampu mentarjihkan pandangan terdahulu dengan bertafaqquh, serta mampu berijtihad dalam masalah semasa yang baru muncul yang tidak ada pada zaman dahulu (mutaghayyirat).

“Kita mempunyai kitab-kitab turath kajian ulama’ terdahulu dalam segala lapangan, di samping kajian-kajian terkini oleh para ilmuwan yang berwibawa.

“Jadi, marilah kita bersatu dan berpakat dalam titik persamaan dan bertasamuh dalam berkhilaf mengikut adab ikhtilaf yang diamalkan oleh generasi awal umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -