‘PAS tak mampu bersihkan kerajaan yang sedia tercemar’

Tuan Guru Abdul Hadi
- Advertisement -

SHAH ALAM: “PAS tidak mampu membersihkan kerajaan yang sudah sedia ‘tercemar’. Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) siapa ada di dalamnya.. jadi hendak cuci macam mana?

“Ada bekas banduan, kluster mahkamah pun ada, macam mana kami (PAS) nak ikut. Kalau nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis.. kita duduk di luar.” 

- Advertisement -

Sebaris kata-kata Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini, jelas menunjukkan di mana kedudukan kerajaan madani itu dari kaca mata PAS.

Ia adalah susulan baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dilapor berkata, Umno akan kembali ‘dibersihkan’ jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.

Kata beliau juga, sekiranya kerjasama itu menjadi realiti, tiada lagi fatwa ‘mengkafir’ atau ‘menyesatkan’ mana-mana pihak terutama terhadap parti yang berbeza ideologi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya Abdul Hadi, jemputan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk PAS menyertai kerajaan Madani hanya dibuat kepada media asing bukan kepada parti itu sendiri.

“Jemputan (PAS sertai kerajaan) dibuat melalui media antarabangsa, tidak kepada PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -