Pernah calon PAS jual tanah bayar deposit pilihan raya

Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Malaysia disaran menyediakan arkib khas bagi menyimpan sejarah perjuangan parti itu untuk tatapan generasi akan datang.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengalaman yang dilalui pemimpin terdahulu tidak diperolehi di mana-mana pusat pengajian tinggi.

Begitu juga katanya, sejarah penganjuran muktamar yang begitu getir pada zaman awal kebangkitan PAS tidak pernah dirasai generasi sekarang.

“Pernah diadakan muktamar di sebuah rumah di mana pemimpin dan perwakilan duduk bersila ketika bermuktamar.

“Bekas Yang Dipertua PAS Kuala Lipis Ustaz Kassim Yahya pula terpaksa menjual tanah miliknya kerana dipilih bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya ketika itu.

“Tiga kali dipilih bertanding sebagai calon PAS, tiga kali dia terpaksa menjual tanah bagi membayar deposit. Malah katanya kalau dicalon lagi dia terpaksa menjual rumah yang diduduki keluarganya.

“Rintangan dan halangan itu membolehkan PAS melangkah lebih jauh sehingga berjaya mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri lepas,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-64 di IDCC malam tadi.

Bagaimanapun kata beliau kejayaan itu tidak mudah, di mana PAS terpaksa bermesyuarat sehingga tiga jam bagi membuat keputusan penting sebelum memuktamadkan hubungan dengan parti lain.

Menurutnya ketika itu Presiden Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peluang kepada setiap ahli mesyuarat bagi menyatakan pandangan.

“Akhirnya Presiden membuat keputusan bersama dengan Bersatu dan Gerakan dalam PERIKATAN NASIONAL dan memperkukuhkan hubungan Muafakat Nasional,” tambahnya.

Beliau juga berkata, sumbangan besar Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Shahidan Kassim tidak dapat dinafikan sehingga PAS dan PN berjaya menguasi sepenuhnya Perlis pada PRU15 lepas. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -