
SHAH ALAM: Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-63 menerima enam usul daripada kawasan dan negeri.
Menurut Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, satu usul diterima untuk dibahaskan, satu tanpa bahas dan empat usul diterima sebagai cadangan.
“Kami menjangkakan akan ada usul tergempar yang akan dibawakan dalam muktamar kali ini, insya- Allah.
“Usul yang diterima untuk dibahas ialah berkaitan kebebasan media dan kebebasan berpolitik,” ujarnya.
Menurutnya, muktamar dewan itu mengekalkan tema tahun lepas iaitu ‘Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan’ sebagai satu mesej jelas yang ingin disampaikan kepada rakyat.
Malah seluruh ahli bahawa agenda penyatuan ummah yang diputuskan oleh pimpinan tertinggi didukung dan diusahakan secara bersama.
“DMPM mengharapkan bahawa tema pada hari ini seluruh muslimat akan terus mematri perpaduan ummah di dalam kerja dakwah dan tarbiah untuk terus memelihara kemenangan yang telah dicapai pada PRU ke-15,” katanya dalam sidang media malam tadi di IDCC, dekat sini.
Dalam pada itu katanya, DMPM turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis-Israel dalam serangan terkini di Gaza.
Katanya, hari ini turut akan diadakan pemilihan jawatankuasa baharu 2023-2025 selaras dengan Perlembagaan PAS Pusat.
“Selalu dalam pemilihan ini akan pilih 12 orang sahaja untuk semua jawatan AJK kemudian akan ditambah nanti bila dah bina ‘kabinet’ tu. Tapi masa pemilihan 12 orang sahaja,” ujarnya lagi.
Muktamar DMPM dirasmikan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, malam tadi.
Ia membabitkan kehadiran kira-kira 750 perwakilan daripada 180 kawasan dari seluruh negara. – HARAKAHDAILY 19/10/2023











