PAS tidak undang negara sokong Israel hadiri muktamar

Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Man Tuan Ibrahim memuji tindakan Dewan Pemuda PAS Malaysia membatal jemputan terhadap negara-negara Islam yang didapati menyokong Israel menghadiri perasmian muktamar Pemuda PAS malam tadi.

- Advertisement -

Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu dengan mengambil kira kezaliman rejim Zionis Israel sehingga menyebabkan ribuan penduduk Palestin menjadi mangsa serangan ganas yang bermula 7 Oktober lepas.

Katanya, pendirian itu bagi menegaskan umat Islam di negara ini tidak boleh menerima tindakan sesetengah negara umat Islam yang masih menjalin hubungan dengan Zionis Israel.

“Kami di peringkat PAS Pusat juga akan mengambil tindakan serupa tidak mengundang negara-negara yang didapati menjalin hubungan dengan Israel pada perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke-69 Jumaat ini,” katanya dengan disambut laungan takbir perwakilan dan pemerhati yang hadir.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda kali ke-64 di Dewan IDCC. Perasmian muktamar itu serentak dengan Dewan Muslimat PAS Malaysia di aras yang sama. Muktamar Dewan Muslimat dirasmikan Timbalan Mursyidul Am Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Tuan Ibrahim turut melahirkan perasaan kecewa apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal menghentikan kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Kebebalan PBB untuk bertindak menghentikan kezaliman yang begitu dahysat dilakukan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin terutamanya orang awam yang tidak berdosa.

“Lebih 70 tahun negara kuasa besar gagal bertindak bagi menghalang kezaliman Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bagaimanapun beliau juga berkata, negara haram Israel yang kononnya memiliki pertahanan keselamatan yang canggih dan kebal akhirnya berjaya dirobek pejuang Hamas dan Hizbullah. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -