Dewan Ulamak lulus usul pertahan undang-undang syariah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat petang ini meluluskan usul mempertahan serta memperkasakan undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah dengan sebulat suara.

- Advertisement -

Usul tersebut dibawa ahli jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Fairus Mat Isa dan disokong Ustaz Zubir Embong dari Dewan Ulamak PAS Selangor dan Ustaz Mohd Asri Mat Daud wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan.

Usul itu mendesak semua pihak mengiktiraf martabat dan kedudukan mahkamah syariah, membantah pihak yang mencabar keabsahan Undang-Undang Jenayah Syariah, tidak bersetuju tafsiran undang-undang dalam kes Iki Putra.

Selain itu turut mencadangkan pasukan peguam pakar ditubuh untuk menawarkan khidmat guaman bagi membela kes-kes berkaitan cabaran terhadap undang-undang syariah.

Zubir semasa menyokong usul tersebut berkata, ketika kuasa politik Melayu mempunyai kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat, namun ia tidak dilakukan bagi meminda perlembagaan bagi mempertahankan perundangan syariah.

Kata beliau situasi yang berlaku itu satu kesilapan besar yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Ketika parlimen dikuasai lebih dua pertiga orang Islam, malangnya parti yang menguasai kerajaan ketika itu tidak melakukan pindaan.

“Itu satu kesilapan. Kita perlu undang-undang yang mantap untuk mengelakkan ancaman terhadap perundangan Islam.

“Malah kita masih ingat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pernah dikenakan dengan sebanyak RM10,000 kerana dianggap salah menahan Kahar yang membawa ajaran sesat,” katanya.

Oleh itu kata beliau usul tersebut penting untuk mengelakkan kesalahan dalam perundangan Islam dipertikaikan lagi.

Mohd Asri pula berkata, isu tersebut berlaku sejak zaman berzaman bagi mencabar perundangan Islam.

Malah katanya isu tersebut mendapat perhatian Sultan Selangor dan Sultan Kelantan terhadap pihak yang mencabar perundangan Islam.

Oleh itu katanya kerajaan Kelantan menyatakan dengan tegas untuk mempertahankan Kanun Jenayah Syariah.

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat juga meluluskan usul mengecam kezaliman Zionis Israel dan menyokong perjuangan Hamas demi pembebasan Baitul Maqdis.

Usul terbabit dibawa Ustaz Najhan Abdul Halim disokong sebulat suara. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -