Ulama perlu terlibat dengan masjid mudahkan kerja dakwah

Ustaz Roslan Ramli
- Advertisement -

SHAH ALAM: Ulama PAS hendaklah menguasai pengurusan masjid di kawasan masing-masing dan jangan hanya sekadar solat di rumah.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Sabah Ustaz Roslan Ramli berkata, ulama hendaklah berusaha untuk berada di saf sebagai ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

Katanya ulama tidak membiarkan perkara itu berlaku kerana ruang yang ada akan direbut pihak lain untuk menduduki jawatan AJK masjid.

“Jangan biarkan pihak lain menguasai masjid sehingga menyebabkan sukar untuk kita melaksanakan uslub dakwah sebagaimana diagendakan.

“Pemimpin dan pendukung PAS hendaklah terlibat dengan NGO setempat bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat,” katanya ketika membahas ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini.

Beliau turut menyarankan pendakwah dari Semenanjung hendaklah memahami budaya tempatan di Sabah sebelum berdakwah di negeri itu.

Selain itu pendakwah hendaklah mengadakan hubungan baik dengan penduduk tempatan.

“Ramai pendakwah dari Semenanjung datang ke Sabah berdakwah sejak dahulu sehingga sekarang. Hasil ketabahan dan kegigihan mereka menyebabkan satu demi satu orang Sabah masuk Islam.

“Lagi pun Sabah ada 33 etnik berbeza di Sabah. Pendakwah luar hendaklah menggunakan bahasa tempatan untuk memudahkan difahami penduduk apa yang disampaikan,” ujarnya.

Tambah beliau, perlunya memperkasakan agenda dakwah dan organisasi dalam menawan hati masyarakat.

Menurutnya, ahli perlu memahami budaya, adat-istiadat, dan bahasa tempatan Sabah sebelum berdakwah.

“Ini membantu membangun hubungan yang baik dengan penduduk tempatan.

“Kita juga perlu menunjukkan sikap hormat terhadap masyarakat tempatan, agama, dan adat-istiadat bagi memenangi hati mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar menggunakan komunikasi yang efektif dengan cara menggunakan bahasa tempatan atau bahasa yang mudah difahami oleh penduduk tempatan.

Menurutnya lagi, ahli perlu menyertai aktiviti sosial dan kegiatan komuniti untuk memahami isu-isu tempatan dan berinteraksi dengan lebih banyak orang.

“Kita perlu menunjukkan kesederhanaan dalam hidup dan menjadi tauladan dalam
amalan agama untuk mempengaruhi positif masyarakat sekitar.

“Dalam masa sama, usaha untuk menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin komuniti tempatan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sokongan dan bimbingan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Roslan turut mencadangkan agar dianjurkan sesi pendidikan dan dialog bagi membincangkan nilai-nilai agama dan mengatasi kesalahfahaman.

Ini ujarnya memberi tumpuan kepada nilai-nilai keagamaan yang mendorong kepada kebaikan dan keadilan.

Beliau turut mengingatkan ahli agar sentiasa berpegang kepada prinsip moral dan etika yang tinggi dalam usaha dakwah di Sabah.

Dewan Ulamak negeri turut mempertimbangkan beberapa aspek penting bagi menjayakan usaha ini iaitu dengan cara memperkasakan organisasi dakwah supaya mempunyai matlamat yang jelas dan semua anggota harus memahami matlamat ini.

Ini ujarnya perlu mewujudkan struktur organisasi yang kukuh dengan peranan dan
tanggungjawab yang jelas untuk setiap ahli dan bahagian organisasi.

Pemimpin organisasi dakwah juga harus dipilih berdasarkan kemahiran, kepimpinan yang kukuh dan berpengetahuan dalam agama.

Wakil Sarawak, Ustaz Muhammad Firdaus Abu Bakar pula berkata, kerja-kerja dakwah bukan sekadar dilakukan di masjid sahaja, sebaliknya perlu turun ke lapangan.

Kata beliau ulama juga hendaklah aktif memanfaatkan media sosial bagi menyebarkan Islam secara lebih meluas di Sarawak. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -