
SEMENANJUNG GAZA: Sehari selepas BBC menyiarkan berita berjudul, ‘Does Hamas build tunnels under hospitals and schools?’ (‘Adakah Hamas membina terowong di bawah hospital dan sekolah?’) dalam platform X pada 16 Okt 2023, tentera zionis telah mengebom dua buah hospital di Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya 500 nyawa terkorban.
Wartawan multimedia bebas, Yumna Patel melalui platform Instagramnya berkata demikian sambil melaporkan mengenai pengeboman salah sebuah hospital, iaitu Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada 17 Okt merujuk kepada kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.
Hospital berkenaan sebenarnya telah menjadi pusat perlindungan penduduk dari banyak tempat di Gaza yang menjadi pelarian untuk berlindung dari serangan udara tidak berperikemanusiaan tentera Zionis Israel laknatullah terhadap kediaman masing-masing.
“Tentera Israel telah mengebom Hospital Al-Ahli yang menjadi tempat perlindungan beratus-ratus pesakit yang tercedera akibat serangan sebelum ini dan pesakit lain, keluarga pesakit, doktor, jururawat, pekerja hospital serta orang awam.
“Jenayah perang telah menggambarkan tahap kengerian yang disaksikan gaza pada malam (kejadian) ini,” lapor Patel.
Laporan tersebut telah mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata melahirkan simpati terhadap mangsa-mangsa pengeboman tentera zionis tersebut, malah ada yang menyalahkan laporan BBC tersebut.
“Senaraikan nama wartawan dan pengarang BBC! Mereka terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai ini,” ujar seorang netizen melalui instagramnya, @Itzzmar.
Seorang lagi netizen melalui intagramnya, @nancym88_ berkata: “Ini bukan tentang Hamas, ia adalah tentang pembunuhan beramai-ramai dan kempen pembersihan etnik (rakyat Palestin) secara berterusan yang dilaksanakan Israel sejak 1948.”
“Apa yang Israel lakukan sekarang adalah hukuman terkumpul yang membelakangi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meminta sekatan dihentikan dan genjatan serta-merta. Dua juta rakyat Palestin tidak boleh dihukum begitu sahaja. Wanita dan kanak-kanak dibom ketika merela cuba menyeberangi sempadan. Bekalan elektrik, air dan makanan dipotong. Ini sangat tidak berperikemanusiaan,” tegas pula netizen @Iannooosh88. – HARAKAHDAILY 18/10/2023




















