Daniel Noboa Presiden termuda Ecuador

Noboa telah mencadangkan beberapa orang penjenayah paling tegar di Ecuador dipindahkan ke kapal penjara di luar pantai negara itu. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

QUITO: Ahli perniagaan, Daniel Noboa bakal menjadi presiden termuda dalam sejarah Ecuador, pada usia 35 tahun.

Noboa memenangi pilihan raya negara itu pada Ahad dengan meraih  52.3 peratus undian, mendahului saingannya, Luisa González 47.7% yang mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada pesaingnya itu.

- Advertisement -

Lelaki berusia 35 tahun itu, daripada parti Tindakan Demokratik Kebangsaan, adalah anak kepada Álvaro Noboa, yang bertanding namun tidak berjaya untuk meraih  jawatan Presiden Ecuador sebanyak lima kali.

Sehubungan itu, Noboa hanya mempunyai 17 bulan memegang jawatan Presiden sehingga pilihan raya akan datang.

Beliau akan memerintah hanya sehingga Mei 2025, kerana pilihan raya semasa dicetuskan lebih awal apabila Presiden Guillermo Lasso yang akan keluar membubarkan parlimen di tengah-tengah perbicaraan pemecatannya. 

Noboa yang boleh bertanding semula untuk penggal Presiden 2025 hingga 2029 jika beliau mahu,  akan mengangkat sumpah sebagai presiden pada 25 Nov ini, lima hari sebelum hari lahirnya yang ke-36.

Berikutan kemenangannya pada pusingan kedua pengundian, Noboa memberitahu penyokong:”Esok kita mula bekerja untuk Ecuador baharu ini, kita mula bekerja untuk membina semula negara yang teruk dilanda keganasan, rasuah dan kebencian.”

Ecuador telah mengalami peningkatan keganasan kumpulan haram dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kempen Presiden telah dicemari oleh pembunuhan calon, Fernando Villavicencio pada  Ogos lalu, yang merupakan wartawan dan telah berkempen menentang rasuah.

Jenayah keganasan juga meningkat secara mendadak dan Ecuador telah menjadi hab kumpulan dadah kerana lokasinya di antara Colombia dan Peru, dua negara pengeluar kokain teratas di dunia.

Noboa telah mencadangkan memindahkan beberapa orang penjenayah paling tegar di Ecuador ke kapal penjara di luar pantai negara itu, untuk memecahkan kumpulan penjara yang terlibat dalam peperangan maut di dalam penjara negara itu.

Beliau  juga bercadang  meningkatkan keselamatan di sempadan dan pelabuhan Ecuador untuk mengganggu laluan utama pengedaran dadah, mencadangkan memasang pengimbas untuk memastikan lebih banyak penghantaran kokain dipintas.

Noboa juga telah cuba merayu kepada pengundi dengan berjanji untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat di negara itu. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -