
KOTA BHARU: Tourism Malaysia Wilayah Timur mengenal pasti seramai sembilan adiguru di Kelantan yang mampu menjadi teras penerusan warisan di negeri itu.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Wan Eikmal Khalil berkata, peranan adiguru begitu penting untuk mengembangkan seni budaya dan warisan bagi mengekalkan kegemilangan warisan tanah air.
Katanya adiguru turut berperanan mengajar dan mereka cipta pembuatan kraf seperti sulaman kelingkam, pembuatan blok batik, penghasilan alatan wayang kulit, pembuatan seramik dan ukiran tembaga serta aksesori busana tradisional Melayu Kelantan.
“Kita mengenal pasti sembilan adiguru yang pakar dalam bidang pembuatan serunai, rebana ubi, batik blok, jebak puyuh, tenunan songket dan sulaman kelingkam yang sangat unik.
“Kita akan meneruskan usaha menjejaki adiguru di Pahang dan Terengganu bagi memastikan seni dan budaya yang menjadi jati diri rakyat terus dilestarikan,” katanya kepada pemberita pada program jejak warisan adiguru di Rumah Tiang 12, di sini, hari ini.
Wan Eikmal juga berkata, program jejak warisan adiguru mampu menjadi wadah mempopularkan jati diri sesebuah masyarakat.
Menurutnya juga keunikan warisan Kelantan berpotensi menarik lebih ramai pelancong dengan mengetengahkan konsep Islamik.
Kata beliau, potensi itu selari kerana Kelantan turut dikenali negeri Serambi Mekah dengan wujudnya pondok-pondok pengajian tradisional dan aktiviti keagamaan.
“Kerajaan negeri turut mengambil peranan memperkasakan pakej-pakej yang akan ditawarkan di Kelantan,” katanya.
Oleh itu beliau berkata, Tourisme Malaysia akan memberi kerjasama mempromosikan keunikan untuk memacu industri pelancongan di Kelantan.
Bagaimanapun katanya usaha berterusan wajar dilakukan kerajaan tempatan bagi memelihara destinasi pelancongan, di samping penguatkuasaan penjagaan kebersihan. – HARAKAHDAILY 17/10/2023











