
KUALA LUMPUR: Dasar gaji progresif tidak bertujuan untuk menggantikan dasar gaji minimum tetapi merupakan pelengkap kepada dasar gaji minimum, kata Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, dasar itu adalah pendekatan secara sukarela di mana majikan boleh mengadakan rundingan dengan pekerja sebelum memutuskan untuk menyertai dasar ini.
“Dasar ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi reformasi gaji pekerja di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim [PN-Pendang] di Dewan Rakyat, hari ini.
Menerusi soalnnya, Awang meminta Menteri Ekonomi menyatakan jumlah libat urus yang diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakan dasar gaji progresif bagi menggantikan dasar gaji minimum dan apakah pendekatan digunakan dalam merealisasikan pelaksanaan dasar terbabit.
Kementerian itu menjelaskan, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk dengan kementerian/agensi kerajaan, majikan dan pekerja telah diadakan bermula dari Julai hingga September 2023 bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pelaksanaan dasar gaji progresif.
“Sesi ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan dasar ini diterima baik oleh semua pihak dan mencapai objektif untuk meningkatkan kadar gaji dan upah serta produktiviti pekerja serta tidak bercanggah dengan dasar perburuhan negara, terutama akta yang berkaitan pekerja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/10/2023











