Fasiliti Jabatan Perhilitan Jerantut kurang selesa

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin [PN-Jerantut] mempersoalkan mengapa Jabatan Perhilitan Jerantut hanya mempunyai 1 buah kereta pacuan 4-roda, keahlian anggota yang sedikit, fasiliti pejabat yang kurang selesa serta bilangan perangkap haiwan yang tidak mencukupi.

- Advertisement -

Sedangkan, katanya keluasan Jerantut yang berbukit-bukau dan mempunyai hutan sebesar 378,357.83 hektar.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan mengapa berlaku situasi itu dalam soalannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kementerian itu, dalam dalam jawapan bertulis menyatakan Pejabat Perhilitan Daerah Jerantut telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan enam perjawatan yang diketuai oleh seorang Ketua Perhilitan Daerah dan dibantu oleh lima orang Pembantu Hidupan Liar.

Menurutnya, sebelum pejabat itu ditubuhkan, aduan berkaitan hidupan liar dan operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Jabatan Perhilitan Daerah Temerloh dan Pejabat Taman Negara Pahang, Kuala Tahan.

Katanya, antara tindakan yang telah diambil bagi meningkatkan pelaksanaan tugasan Jabatan Perhilitan di negeri Pahang adalah  mobilisasi kakitangan daripada lain-lain lokasi bagi membantu operasi. mengemukakan permohonan pertambahan perjawatan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan, menambah satu unit kenderaan pacuan 4 roda baharu pada 26 September 2023 untuk kegunaan tugasan di lapangan khususnya bagi menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dan menambah 13 unit perangkap hidupan liar melalui Program Pembangunan Kawalan, Tangkapan dan Mitigasi Konflik Hidupan Liar Semenanjung Malaysia.

Tambahnya, Jabatan Perhilitan juga sentiasa meneliti dari semasa ke semasa keperluan untuk menempatkan lebih ramai anggota jabatan dan meningkatkan kemudahan fasiliti serta aset bagi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan tugasan dan pada masa yang sama memastikan kebajikan anggota terjaga. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -