
PORT DICKSON: Kemenangan PAS di Dun Bagan Pinang dan dua lagi kerusi atas tiket PERIKATAN NASIONAL akan menjadi asas kepada kemenangan menguasai pentadbiran Negeri Sembilan pada masa akan datang.
Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, asas itu perlu dipertahan dan diperkukuhkan lagi demi untuk matlamat tersebut.
“Hari ini Allah bagi mukadimah kemenangan kepada Negeri Sembilan. Bila Allah bagi kemenangan ini insya-Allah kemenangan ia akan jadi makin besar, makin besar.
“Saya sifatkan kemenangan pada hari ini sebagai asas. Sahabat binalah asas ini sebagaimana kita nak buat bangunan. Sasaran kita nak memerintah Negeri Sembilan. Kita nak tawan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Tambahnya, perkara itu boleh dilakukan dengan mengukuhkan hubungan ukhuwah Islamiah dan memperbanyakkan program.
“Penglibatan kepimpinan dengan masyarakat ini kena sentiasa ada. Saya tahu memang letih. Kadang-kadang kita demam tak boleh tidur, kena pergi juga. Akhirnya sembuh demam begitu saja.
“Saya kalau demam ibarat tak demam. Pergi sana sini akhirnya demam hilang begitu sahaja,” ujar Ustaz Nik Zawawi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Putih berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Khidmat Adun Bagan Pinang, Ustaz Fatah Zakaria, di sini malam tadi.
Ustaz Nik Zawawi turut mengingatkan semua pejuang-pejuang PAS bahawa perjuangan Islam memerlukan keikhlasan kerana ia bermatlamatkan akhirat dan bukan hanya di dunia.
“Alfadil Yang Berhormat (Ustaz Fatah) kita sebut tadi, inilah kerja kita sebab perjuangan kita untuk kita guna selepas daripada mati. Itu matlamat kita. Dunia Allah bagi, alhamdulillah, Allah tak bagi, masya-Allah, tak ada apa. Biar untuk hari akhirat.
“Kita betulkan niat kita, tekad kita. Banyakkan hubungan kita dengan Allah. Kita berdoa dengan Allah supaya Allah campakkan ikhlas di dalam hati kita. Sebab dalam hati ini sentiasa ada gangguan itulah, inilah.
“Ini perlu kepada iman. Dan gangguan ini kita manusia wajib (lalui). Yang tak boleh diganggu ialah malaikat. Nabi yang maksum pun berdoa pada Allah. Ya Allah jadikan aku orang yang ikhlas, Nabi berdoa,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar Pusat Khidmat Adun Bagan Pinang yang dibuka itu akan berfungsi dengan baik bagi menjalankan aktiviti kepada masyarakat.
Sementara itu, Ustaz Fatah dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa beliau sendiri tidak menyangka dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dun itu.
Lebih-lebih lagi, katanya, beliau bukanlah penduduk asal negeri ini di mana beliau berasal dari Negeri Kelantan, namun itu tidak menjadi penghalang untuk menawarkan diri berkhidmat pada masyarakat tempatan.
“Dan bahasa yang mudah, di mana bumi dipijak, di situ kita berbakti. Insya-Allah masyarakat akan menerima. Insya-Allah kemenangan ini akan diwarisi oleh pimpinan-pimpinan pelapis akan datang.
“Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi memberi sokongan bekerja bersama saya dalam pilihan raya lepas,” ujarnya.
Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang juga Adun Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 14/10/2023




















